Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah bukan nama yang sering mendominasi tajuk utama, namun rekod perkhidmatannya membuktikan bahawa kepimpinan berkesan tidak semestinya bergantung pada populariti tetapi pada integriti, rekod kerja dan kemampuan menyelesaikan tugas tanpa drama politik.
Beliau pernah memegang beberapa jawatan strategik termasuk Pengerusi PTPTN, Menteri Tenaga dan Sumber Asli dan kini berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri. Perkara yang paling signifikan sepanjang tempoh panjang dalam pentadbiran dan politik nasional, beliau kekal bebas daripada sebarang kontroversi, skandal atau salah laku, menjadikan beliau antara calon paling stabil dan selamat untuk menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Penuh sekali lagi.
Kecekapan beliau semakin terserlah apabila memimpin pembangunan Lenggong UNESCO Global Geopark, suatu usaha berprofil tinggi yang memerlukan koordinasi antara pakar geologi, antropologi, penggiat pelancongan dan komuniti setempat.
Sebagai peneraju Majlis Pelancongan Lenggong, beliau memastikan penglibatan komuniti tempatan, mengurus persediaan teknikal dan mengekalkan standard antarabangsa yang ketat. Usaha ini akhirnya membuahkan pengiktirafan oleh UNESCO Global Geoparks Council pada 7 September 2025 di Chile yang dijangka disahkan oleh Lembaga Eksekutif UNESCO pada Januari 2026 dan diiktiraf secara rasmi oleh Perhimpunan Agung UNESCO pada Mei 2026, dengan 27 geotapak, 18 tapak warisan budaya, 8 biotapak dan 9 tapak geoarkeologi, Lenggong kini berada di peta dunia dan inilah hasil kerja senyap tetapi berkesan seorang pemimpin yang tahu memaksimumkan potensi tempatan untuk manfaat antarabangsa.
Di pentas diplomasi pula, Shamsul Anuar telah memikul tanggungjawab negara dalam beberapa misi penting. Beliau mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri Undang-Undang ASEAN (ALAWMM) 2025, termasuk memeterai ASEAN Treaty on Extradition, sebuah perjanjian yang tertangguh lebih dua dekad sebelum berjaya dimuktamadkan.
Kejayaan ini bukan sekadar pencapaian teknikal tetapi mencerminkan keupayaan beliau berunding, memahami kerumitan undang-undang serantau dan memimpin delegasi negara dengan matang. Beliau juga mengetuai delegasi Malaysia ke Doha, Qatar bagi menghadiri pengebumian pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh iaitu satu misi yang menekankan prinsip Malaysia dalam mempertahankan hak dan maruah rakyat Palestin melangkaui sempadan politik blok antarabangsa.
Di dalam negara, Shamsul Anuar memainkan peranan penting dalam pembentukan dan pindaan dasar serta undang-undang.
Beliau mengetuai sesi libat urus dengan pelbagai agensi, pakar dan kumpulan berkepentingan, memastikan proses penggubalan undang-undang berjalan lancar tanpa tentangan besar. Antara rang undang-undang yang berjaya dipinda melalui kepimpinan beliau termasuk RUU Agensi Persendirian (Pindaan 2025), RUU Pendaftaran Negara (Pindaan 2025), RUU Kehadiran Wajib Pesalah-pesalah (Pindaan 2025), RUU Polis (Pindaan 2023), Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 [Akta 283], RUU Akta Percetakan Teks Al-Quran dan RUU Perlembagaan (Pindaan 2024).
Keupayaannya mengurus proses kompleks ini memperlihatkan ketelitian, kefahaman undang-undang dan kematangan kepimpinan.
Walaupun aktif dalam dasar dan diplomasi, Shamsul Anuar kekal sebagai pemimpin yang mudah didekati dan dekat dengan rakyat. Pendekatan beliau yang rendah hati dan tidak gemar mencari publisiti melampau menjadikan beliau dihormati dalam kalangan masyarakat serta dihargai oleh mereka yang bekerja rapat dengannya.






Comments
Post a Comment