Banjir Di Pahang Salah Kerajaan, Banjir Di 'SG4' Adalah Takdir Tuhan

Di Perumahan Prima Sg Karang Team MTSP Kuala Krau bersama MTSP Indera Mahkota

Banjir yang melanda Pahang kebelakangan ini berlaku dalam konteks fenomena cuaca yang jelas, iaitu hujan berterusan akibat Monsun Timur Laut (MTL) yang turut menjejaskan hampir seluruh Semenanjung Malaysia termasuk negeri-negeri di bawah pentadbiran PAS.

Malah, di negara jiran, impaknya jauh lebih dahsyat sehingga mengorbankan nyawa. Dalam situasi sebegini, keutamaan seharusnya adalah kesyukuran dan solidariti, bukan eksploitasi politik terhadap musibah rakyat.

Ironinya, di negeri-negeri yang ditadbir PAS seperti Perlis, banjir turut melanda kawasan tinggi termasuk Wang Kelian, suatu keadaan yang jelas membuktikan bahawa faktor utama ialah taburan hujan luar biasa. Namun, tiada pula naratif “gagal merancang” dilemparkan kepada kerajaan negeri sendiri. Yang kelihatan hanyalah kehadiran wakil rakyat PAS untuk berswafoto dan membuat siaran langsung tanpa usaha membina hujah menyalahkan perancangan bandar atau projek tebatan banjir.




Pendekatan UMNO dan Barisan Nasional pula konsisten dan matang. Ketika Perlis dan Kedah dilanda banjir besar termasuk kawasan yang sebelum ini tidak pernah banjir, tiada tuding jari dilemparkan kepada kepimpinan negeri termasuk Menteri Besar Kedah. Fokus utama adalah membantu rakyat tanpa mengira latar politik. Inilah perbezaan asas antara politik khidmat dan politik persepsi.

Namun, apabila banjir berlaku di Pahang, nadanya berubah. Wakil rakyat PAS seperti YB Andansura memilih untuk menghasilkan kandungan video sambil menuding jari kononnya kegagalan berpunca daripada perancangan bandar, semata-mata kerana Pahang masih ditadbir Barisan Nasional.

Jika diteliti rakaman udara (drone) kawasan terjejas, jelas bahawa banjir berpunca daripada jumlah air yang terlalu banyak dan meluas, bukan kegagalan setempat seperti yang cuba digambarkan.

Isu kelewatan projek tebatan banjir juga dimainkan secara selektif. Hakikatnya, PAS sendiri pernah menerajui portfolio berkaitan tebatan banjir di peringkat Persekutuan. Rekod menunjukkan kelulusan projek secara pemberian terus (direct award) yang akhirnya mencetuskan pelbagai kontroversi dan kegagalan pelaksanaan. Fakta ini mudah ditemui dan tidak wajar dipadam daripada ingatan awam hanya kerana ia tidak menyebelahi naratif semasa.

Di Perumahan Prima Sg Karang Team MTSP Kuala Krau bersama MTSP Indera Mahkota




Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang

Di Pahang, kepimpinan negeri menunjukkan contoh sebenar kepimpinan krisis. Menteri Besar Pahang sendiri turun ke lapangan bersama Timbalan Perdana Menteri bagi meninjau situasi banjir dan menyampaikan bantuan secara langsung. Malah, keberangkatan Sultan Pahang bersama Menteri Besar ke kawasan terjejas di Kuantan memperlihatkan kesepaduan kepimpinan negeri yang tulen bukan sekadar rakaman video untuk tontonan media sosial.

Lebih membingungkan, tokoh yang lantang menyalahkan kononnya kegagalan perancangan ini pernah pula dalam sidang Dewan menyalahkan Ketua Audit Negara sebagai “tidak faham”. Sedangkan, Kerajaan Negeri Pahang sejak awal telah menyediakan peruntukan bantuan banjir secara konsisten dan mencukupi malah melebihi angka yang cuba dicadangkan oleh pihak pembangkang sendiri. Ini bukan soal tidak tahu tetapi soal memilih untuk menafikan.

PAS dan Perikatan Nasional di Pahang wajar mencari medan politik lain yang lebih beretika. Banjir bukan isu partisan. Mempolitikkan musibah, merendahkan institusi audit negara dan memutar fakta hanya memperlihatkan kematangan politik yang cetek. Ketika rakyat berdepan kehilangan dan kesukaran, wakil rakyat sepatutnya hadir sebagai penyelesai bukan pencetus polemik.

Hakikatnya, wakil rakyat UMNO turut menghulurkan bantuan menggunakan dana peribadi tanpa perlu menjaja atau menuntut pujian. Inilah nilai khidmat sebenar. Justeru, sudah tiba masanya semua pihak menghentikan budaya menuduh dan menuding jari, sebaliknya mengangkat tangan berdoa agar Allah SWT mempermudahkan urusan semua mangsa banjir yang terkesan.

Akhirnya, rakyat dapat menilai sendiri logik yang digunakan. Apabila banjir berlaku di negeri sendiri, ia dianggap takdir dan faktor alam. Namun apabila banjir melanda Pahang tiba-tiba ia dijadikan bukti “gagal merancang”. Inilah standard “low class” pembangkang yang semakin jelas dan semakin sukar untuk disembunyikan.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.