Jika diperhatikan dan diamati, fenomena slogan kempen yang hampir serupa kembali mencuri perhatian, kali ini di pentas pilihan raya negeri Sabah.
Sekiranya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021, Perikatan Nasional (PN) menggunakan slogan “Abah Sayang Melaka” namun berakhir dengan kekalahan besar iaitu hanya memenangi dua kerusi DUN, situasi kini berulang di Sabah dengan Pakatan Harapan (PH) menggunakan slogan “PMX Sayang Sabah”.
Persoalannya, adakah ini sekadar kebetulan, strategi kitar semula oleh pengurus kempen yang sama atau wujud pihak tertentu yang meniru gaya kempen PN di Melaka?
Apa pun jawapannya, keputusan PRN Sabah menunjukkan kegagalan strategi tersebut. Seakan mengulangi episod di Melaka, PKR yang bertanding di 10 kerusi hanya berjaya meraih satu kerusi iaitu DUN Melalap dan itu pun melalui ‘calon pinjaman’ daripada GRS.
Lebih mengejutkan, DAP, yang sudah lama bertapak di Sabah, tewas di semua kerusi yang ditandingi, satu situasi yang tidak masuk akal akan berlaku dan jelas mencerminkan tahap penolakan pengundi terhadap kempen yang dibawa.
Kegagalan PH bukan sekadar tidak menambah pengaruh, malah menghadapi penolakan meluas, terutama di kawasan majoriti Kadazan-Dusun-Murut-Rungus (KDMR) dan pedalaman. Walaupun naratif “PMX Sayang Sabah” digerakkan dengan intensif, ia gagal menawan hati pengundi.
Ini menunjukkan bahawa slogan yang indah tidak mampu menutupi rasa tidak puas hati terhadap prestasi kerajaan Persekutuan di mata pengundi Sabah. PRN Sabah menegaskan satu perkara penting, strategi kempen bertema individu seperti “PMX Sayang Sabah” tidak menghasilkan kelebihan politik yang nyata. Pengundi kini menuntut pendekatan yang menghormati autonomi negeri dan bukannya sekadar ‘gimmick’.
Jika badi Melaka menjadi amaran awal kepada Muhyiddin, maka PRN Sabah kini menjadi cermin kepada PMX bahawa strategi politik gaya Semenanjung tidak boleh diimport begitu sahaja ke Sabah. Daripada slogan manis, pengundi kini menagih dasar yang menyeluruh, hala tuju ekonomi yang jelas dan penghormatan terhadap suara tempatan.
Paling nakal, ada yang baca “PMX Sayang Sabah” sebagai “PM X Sayang Sabah”, PM Tidak Sayang Sabah!


Comments
Post a Comment