Penutupan Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) yang diumumkan baru-baru ini menimbulkan satu persoalan besar, siapakah pihak yang benar-benar mendapat manfaat daripada keputusan ini? Jawapannya jelas, pelajar bukanlah pihak yang diutamakan.
Sebaliknya, keputusan ini dilihat lebih menguntungkan pihak kontraktor serta golongan tertentu daripada kelompok M40 dan ke atas?
Manakala pelajar daripada keluarga berpendapatan sederhana dan rendah menjadi mangsa kepada percaturan dasar yang tidak telus. Lebih membimbangkan, penutupan AYTK dibuat atas alasan memberi laluan kepada projek menaik taraf menjadi sekolah Imtiaz baharu yang kononnya mampu menampung sehingga 5,000 pelajar, satu angka yang menimbulkan keraguan dari segi realistik dan perancangan sebenar.
Malah persoalan yang masih gagal dijawab ialah, mengapa AYTK perlu ditutup sepenuhnya? Jika matlamatnya membangunkan institusi pendidikan baharu, mengapa tidak dibina di lokasi lain tanpa mengorbankan kemudahan sedia ada yang masih berfungsi?
Keputusan ini menimbulkan persepsi bahawa ia sebahagian daripada gerakan lebih besar untuk menghapuskan legasi institusi pendidikan yang dibangunkan pada era pentadbiran UMNO-Barisan Nasional, selari dengan polemik melibatkan Felda sebelum ini.
Pendedahan oleh pemilik akaun Facebook, Sharifah Rahmazu, menguatkan lagi kebimbangan awam. Menurut beliau, sesi yang dinamakan sebagai Taklimat Penstrukturan Semula AYTK pada hakikatnya lebih menyerupai sesi penerangan tentang penutupan institusi secara berperingkat.
Perkara ini selari dengan kandungan surat rasmi yang ditandatangani oleh Pengarah Yayasan Terengganu dan telah diedarkan kepada ibu bapa sebelum taklimat berlangsung. Situasi ini bukan sahaja mengelirukan, malah memberi kesan langsung terhadap masa depan pelajar serta perancangan keluarga yang terlibat.
Dalam taklimat tersebut, ibu bapa dimaklumkan bahawa bagi sesi persekolahan 2026, asrama AYTK perlu dikosongkan selewat-lewatnya pada Mac 2026. Namun, atas alasan bertembung dengan Ramadan dan Aidilfitri, tarikh pengosongan telah dipercepatkan kepada sebelum atau pada 15 Februari 2026 jauh lebih awal daripada jangkaan asal sekitar Jun 2026. Keputusan mengejut ini secara langsung menjejaskan persediaan pelajar dan keluarga.
Seramai 104 orang pelajar dikenal pasti terkesan secara langsung. Ibu bapa diberikan dua pilihan yang sukar iaitu memindahkan anak ke sekolah berhampiran tempat tinggal atau meneruskan persekolahan di sekolah asal tanpa sebarang jaminan kemudahan asrama.
Bagi keluarga dari luar kawasan, kedua-dua pilihan ini membawa implikasi kewangan dan logistik yang besar.
Keadaan bertambah kritikal apabila dimaklumkan bahawa kekosongan asrama Sekolah Imtiaz Swasta (SIS) ketika ini hanyalah sebanyak 24 tempat, lima pelajar lelaki dan 19 pelajar perempuan. Jumlah ini jelas tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan pelajar yang terjejas, sekali gus mengehadkan pilihan sebenar yang boleh dibuat oleh ibu bapa.
Sebagai alternatif, pelajar dicadangkan untuk berpindah ke sekolah lain yang mempunyai kemudahan asrama seperti Sekolah Menengah Badrul Alam Shah, tertakluk kepada kekosongan dan syarat semasa.
Namun, langkah ini membawa risiko akademik yang serius, terutamanya bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM. Setiap sekolah menawarkan aliran dan subjek yang berbeza dan tiada jaminan bahawa subjek yang sedang diambil di AYTK akan ditawarkan di sekolah baharu.
Pihak AYTK memaklumkan bahawa urusan perpindahan akan diuruskan oleh pihak mereka tertakluk kepada kelulusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Walau bagaimanapun, tanggungjawab membuat keputusan sepenuhnya tetap terletak di bahu ibu bapa, bersama segala risiko dan ketidaktentuan yang mengiringinya.
Lebih mengukuhkan persepsi penutupan terancang ini, ibu bapa turut dimaklumkan bahawa pada tahun 2027, Imtiaz Swasta akan mula beroperasi dengan pengambilan seramai 100 pelajar Tingkatan 1. Perkembangan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa AYTK sedang memberi laluan kepada institusi baharu, sekali gus menamatkan peranannya sebagai asrama pendidikan awam.
Jadi, meskipun dilabel sebagai penstrukturan semula, keseluruhan naratif, tindakan dan implikasi yang terhasil menunjukkan bahawa AYTK sedang melalui proses penutupan secara sistematik dan ‘memaksa’.
Pelajar sedia ada menjadi korban dasar, manakala kebajikan mereka seolah-olah berada di tangga kedua dan timbul persoalan besar yang masih belum terjawab ialah sama ada keputusan ini benar-benar berpaksikan kepentingan pendidikan anak-anak Terengganu atau sekadar memenuhi agenda pihak tertentu.
Teringat cerita anak-anak Tadika KEMAS dihalau pada suatu ketika dahulu.

Comments
Post a Comment