Drama politik Sabah hari ini mencapai detik paling mencuri perhatian apabila Datuk Armizan Mohd Ali, menteri Persekutuan dari GRS, memuat naik kenyataan bersiri hampir setiap dua jam bagi menolak kemasukan Barisan Nasional (BN) dalam pembentukan kerajaan negeri baharu. Namun, realiti politik sering bergerak jauh lebih pantas daripada apa yang diperdebatkan di media sosial.
Walaupun Armizan menolak sekeras-kerasnya penyertaan BN, perkembangan sebenar membuktikan bahawa sebuah kerajaan negeri yang stabil tidak mampu dibentuk tanpa kehadiran BN.
Tindakan Armizan memberi gambaran seolah-olah GRS cukup kuat untuk berdiri sendiri tetapi langkah yang diambil oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memperlihatkan perbezaan ketara antara retorik dan keutamaan pentadbiran.
Hajiji memilih untuk tidak terperangkap dalam perbalahan terbuka. Sebaliknya, beliau mengambil pendekatan pragmatik, mengiktiraf BN sebagai rakan penting bagi memastikan kerajaan negeri dapat dibentuk secara kukuh dan berfungsi. Langkah ini menonjolkan kepimpinan yang lebih matang iaitu memilih kestabilan berbanding polemik.
Pelantikan ADUN Sukau dari Barisan Nasional, Datuk Jafry Ariffin, sebagai Menteri dalam Kabinet Sabah menjadi bukti paling jelas bahawa BN bukan sekadar penyokong luar tetapi telah kembali sebagai komponen rasmi dan relevan dalam ‘Rumah GRS’ dan dengan pelantikan ini, tamatlah segala perdebatan mengenai peranan BN dalam kerajaan negeri, BN kini berada di dalam struktur pemerintahan, bukan di pinggirnya.
Malah tiga wakil rakyat BN turut dilantik sebagai pembantu menteri, ADUN Kunak, ADUN Liawan dan ADUN Bengkoka.
Drama perbezaan pendapat yang meletus hari ini akhirnya hanya mengesahkan satu hakikat bahawa GRS memerlukan BN untuk membentuk kerajaan yang stabil. Tanpa BN, tiada majoriti mantap dan tiada asas kukuh untuk mentadbir.
Di sebalik segala posting, kenyataan dan percaturan politik, satu perkara menjadi semakin jelas iaitu BN bukan pilihan sampingan. BN adalah komponen yang memastikan Sabah ditadbir secara stabil, teratur dan berfungsi untuk rakyat.
Pandangan mungkin berbeza dan perdebatan mungkin berlarutan tetapi Sabah tidak boleh terperangkap dalam drama tanpa penghujung. Hari ini, kerajaan negeri akhirnya dapat dibentuk kerana GRS mengakui realiti paling penting bahawa Sabah memerlukan BN demi kestabilan.


Comments
Post a Comment