1MDB: Jasmine Loo Rakan Subahat Jho Low


1MDB: Bolehkah ‘Rakan Sepenjenayah’ Dijadikan Saksi?

Setiap kali kes besar melibatkan tokoh politik berprofil tinggi diputuskan, skripnya hampir sama. Keputusan diraikan, pengkritik dilabel pembela jenayah dan sesiapa yang bertanya soalan dianggap menentang kedaulatan undang-undang.

Dalam kes 1MDB naratif ini diulang tanpa ruang untuk perbincangan matang. Namun persoalannya mudah, adakah penggunaan saksi tertentu benar-benar memperkukuh keyakinan rakyat atau sekadar mematuhi teknikal undang-undang semata-mata?

Undang-undang Malaysia memang membenarkan penjenayah atau rakan sejenayah menjadi saksi. Seksyen 133 Akta Keterangan 1950 jelas menyatakan bahawa rakan sejenayah adalah saksi yang kompeten dan sabitan tidak menjadi tidak sah hanya kerana ia berasaskan keterangan mereka.

Prinsip ini telah lama diterima termasuk dalam kes PP v Dato’ Harun Idris, di mana Mahkamah Persekutuan menegaskan bahawa sabitan boleh dibuat jika mahkamah berpuas hati dengan kebolehpercayaan saksi tersebut. Dari sudut perundangan, hujah ini tamat di situ.


Namun kes 1MDB bukan kes biasa. Ia adalah skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara dengan implikasi politik, ekonomi dan institusi yang sangat luas. Justeru, apa yang sah di atas kertas belum tentu memadai untuk memulihkan keyakinan awam. Di sinilah muncul persoalan tentang Jasmine Loo, salah seorang saksi penting yang sering dikaitkan dengan pendedahan berkaitan aliran dana dan operasi 1MDB.

Fakta yang tidak boleh dipadam ialah Jasmine Loo bukan rakan sejenayah Najib Razak (BACA di SINI). Beliau tidak berada dalam struktur pentadbiran kerajaan atau membuat keputusan eksekutif negara. Sebaliknya, beliau dikenali sebagai individu yang rapat dengan Jho Low, suspek yang berkali-kali digambarkan sebagai perancang utama skandal 1MDB tetapi sehingga hari ini masih belum dibicarakan di Malaysia. Maka soalan yang munasabah ialah mengapa rakan kepada individu yang masih bebas dijadikan saksi penting, sedangkan individu tersebut sendiri belum dihadapkan ke mahkamah tempatan?

Pendakwaan mungkin berhujah bahawa saksi tidak perlu menjadi rakan sejenayah tertuduh dan itu benar dari sudut undang-undang tetapi dalam kes berimpak nasional, rakyat berhak menilai keseluruhan rantaian keadilan. Apabila dalang utama masih berada di luar sistem, sementara pembantunya diberi ruang sebagai saksi, keadilan mula kelihatan tidak seimbang walaupun prosedurnya sah.

Lebih sensitif ialah persoalan persepsi konflik kepentingan. Jasmine Loo pernah dilaporkan mempunyai hubungan profesional lampau sebagai rakan kongsi dalam firma guaman dengan hakim yang membicarakan kes Najib(BACA di SINI). Tiada bukti bahawa hubungan ini mempengaruhi penghakiman dan tiada dakwaan salah laku kehakiman dibuat. Namun dalam prinsip asas keadilan moden, persepsi tidak boleh dipandang remeh. Keadilan bukan sahaja mesti ditegakkan, tetapi mesti jelas kelihatan bebas daripada sebarang bayang hubungan yang boleh menimbulkan keraguan awam.

Dalam kes-kes semasa lain, sama ada melibatkan DNAA, NFA atau saksi yang diberi imuniti, rakyat sering disuruh “percaya kepada sistem”. Ironinya, ramai pemimpin politik yang kini memegang kuasa pernah selama bertahun-tahun menuduh mahkamah sebagai alat politik dan pendakwaan sebagai senjata kuasa. Persoalannya, adakah sistem itu tiba-tiba menjadi suci hanya kerana pihak yang disabitkan kali ini ialah Najib dan UMNO?

Ini bukan hujah untuk membebaskan Najib, dan bukan juga cubaan menafikan keputusan mahkamah. Ini adalah tuntutan agar keadilan dilihat menyeluruh, konsisten dan tidak terpilih. Jika saksi penjenayah boleh diterima dalam kes ini yang sememangnya dibenarkan undang-undang maka rakyat juga berhak menuntut agar semua suspek utama, tanpa pengecualian, dihadapkan ke mahkamah dengan ketegasan yang sama.

Selagi Jho Low kekal sebagai nama yang disebut tetapi tidak dibicarakan, selagi rakan-rakannya dijadikan saksi manakala dirinya bebas dan selagi persoalan persepsi konflik tidak dijawab secara terbuka, kes 1MDB akan terus dilihat sebagai keadilan yang sah tetapi tidak meyakinkan.

Dalam politik, keadilan yang gagal diyakini rakyat adalah keadilan yang rapuh mudah dipersoal, mudah dipolitikkan dan gagal menutup niat tertentu sesetengah pihak.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.