“Kerajaan dua tahun kami digagalkan, bukan kami yang sengaja gagal.”
Ungkapan ini sering kedengaran dari penyokong Warisan, satu nada kecewa dan marah yang menyalahkan ‘takdir politik’ dan bukan kelemahan sendiri. Namun, selepas lebih tiga tahun GRS mengambil alih pentadbiran Sabah, rakyat semakin jelas melihat siapa sebenarnya gagal membina negeri ini dan siapa yang sekadar pandai menuding jari.
Ketika Warisan memerintah (2018–2020), rakyat Sabah menaruh harapan besar kepada Datuk Seri Shafie Apdal. Namun, di sebalik retorik “Sabah untuk Sabahan”, pentadbiran Warisan diselubungi beberapa kelemahan ketara:
Pelaburan Asing Tidak Kekal:
Banyak memorandum persefahaman (MoU) besar diumumkan, termasuk projek tenaga dan pelancongan, tetapi gagal diterjemah menjadi pelaburan sebenar. Data Lembaga Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan kadar pelaburan yang disahkan di Sabah menurun lebih 25% antara 2019–2020.
Masalah Tadbir Urus dan Projek Tergantung:
Projek jalan raya Pan Borneo yang dijanjikan disegerakan kembali tertunda. Banyak projek air dan elektrik luar bandar tidak disiapkan mengikut jadual. Isu bekalan air di Sandakan dan Lahad Datu kekal berlarutan.
Krisis Politik Dalaman:
Warisan gagal mengurus kestabilan politik sendiri. Kejatuhan kerajaan pada 2020 bukan semata-mata “pengkhianatan” tetapi juga akibat keangkuhan politik dalaman dan kegagalan membina kepercayaan dengan rakan sekutu.
Isu PATI & Keselamatan Sempadan:
Ketika Warisan berkuasa, dasar longgar terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) mengundang kemarahan rakyat tempatan. Pendekatan “humanitarian” Warisan dianggap membuka ruang kepada peningkatan kegiatan ekonomi gelap dan penyusupan ke dalam sistem sosial Sabah.
Selepas menumbangkan Warisan, GRS tampil dengan janji besar yang penuh dengan retorik iaitu mahu membawa kestabilan, peluang kerja,dan reformasi pentadbiran. Namun dua tahun berlalu, prestasi GRS jauh daripada membanggakan.
Produktiviti Buruh Terendah di Malaysia (2024):
Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Sabah menduduki tempat terakhir dalam kadar produktiviti buruh negara. Ini mencerminkan kelemahan dalam dasar ekonomi, pelaburan dan pembangunan industri tempatan di bawah pentadbiran GRS.
Projek Infrastruktur Masih Lemah:
Jalan raya utama seperti Bukit Garam–Kinabatangan–Tawau kekal rosak teruk. Aduan rakyat meningkat tetapi peruntukan hanya digunakan untuk projek kecil bersifat “touch-up politik”.
Pertelagahan Dalaman Parti:
GRS kini dilihat bukan lagi gabungan harmoni. Ketegangan antara PBS, STAR, dan parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sendiri semakin ketara terutama isu agihan kerusi menjelang PRN ke-17.
Isu Pentadbiran, Rasuah dan Integriti:
Rakyat mula persoalkan ketelusan dalam pemberian kontrak kepada individu dan syarikat tertentu. Nama-nama “tauke besar” dan proksi politik menjadi bahan bualan umum termasuk dakwaan bahawa “duit Albert Tei” menjadi bahan bakar utama gerakan politik sesetengah pihak.
Kedua-dua pihak,Warisan dan GRS kini berada dalam posisi defensif.
Warisan terus memainkan naratif “kami digagalkan”, manakala GRS pula menuding masa lalu untuk menutup kegagalannya sendiri.
Namun bagi rakyat Sabah, persoalan utamanya bukan siapa digagalkan tetapi siapa yang mampu memperbetulkan kegagalan ini. Dua kali mereka mencuba pertama dengan Warisan kemudian dengan GRS dan kedua-duanya hanya tinggal janji.
Sabah kini memerlukan kerajaan berpengalaman, stabil dan berwawasan nasional dan bukan retorik etnik atau politik dendam.
Rakyat Sabah sudah cukup derita dengan “kerajaan dua tahun” dan “janji lima tahun gagal”.
Jika Warisan digagalkan dan GRS gagal, anda tahu siapa yang benar-benar mahu berjaya untuk Sabah?
Jawapnya mudah, Kerajaan BN perlu dipilih kembali pada PRN Sabah kali ke-17 nanti.

Comments
Post a Comment