SOOK: "Cukuplah mak ayah kita dan kita sahaja duduk dalam keadaan daif, takkan kita nak anak-anak kita menghadap isu yang sama."
Itu luahan hati penduduk Kampung Biah Tengah, Nick Ardlaye Nicholas yang mengakui akan mengundi untuk menukar wakil rakyat dalam Pilihan Raya ke-17 (PRN) Sabah, Sabtu ini demi melihat perubahan di Sook.
Nick, 29, berkata, dia dan keluarganya tidak pernah membenci pemimpin sekarang, Datuk Ellron Angin, apatah lagi mereka berasal dari kampung yang sama, namun dia hanya inginkan perubahan selepas melihat kemajuan di Sook terlalu perlahan.
"Sudah terlalu lama penduduk Sook memberi peluang kepada wakil rakyat sekarang. Bukan saya kata dia tak baik tetapi kamu boleh nampak sendiri, kemajuan di Sook terlalu perlahan dan sampai bila kita nak hadap semua ini?
"Kalau kita mahu anak-anak kita mempunyai masa depan lebih baik, kenalah pilih orang yang tepat untuk membangunkan Sook. Saya nampak ciri-ciri itu ada pada Dato' Sri Arthur (Joseph Kurup)," kata Nick yang akan mengundi buat kali kedua.
Menurut Nick, sungai tersumbat, jambatan gantung untuk mengeluarkan hasil pertanian, tiang elektrik baharu, bekalan air bersih, pewartaan tanah perkuburan Islam dan Kristian, Program Perumahan Rakyat Sejahtera dan pewartaan tanah perkampungan antara isu besar yang perlu ditangani segera.
Nick juga menyeru penduduk Sook, terutama anak-anak muda supaya memilih calon berdasarkan keupayaan mereka untuk melakukan perubahan bukan disebabkan sentimen kaum, keluarga mahu pun wang.
Ellron, 66, yang bertanding sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN17 tidak pernah kalah sejak memenangi kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N45 Sook pada 2008.
Pada pilihan raya kali ini, beliau dijangka berdepan tentangan hebat daripada calon muda Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur, 43, yang telah membawa banyak pembangunan sepanjang menjadi Ahli Parlimen Pensiangan.
Tiga lagi calon yang bakal bertanding adalah Ireneus Pagut@Jreneus Pagut (STAR), Joseph Peter Tinggi (Warisan) dan dan V Chong Vin@Siau Ho (PIS).

Comments
Post a Comment