Tidak gantung bendera parti di kediaman 'trending' luar biasa - Japirin

Japirin Sahadi ( duduk empat kiri) dan Datuk Dr Ewon Ebin (duduk tiga kanan) sewaktu mengadakan lawatan ke Kampung Debut Langsat, Kundasang, Sabah, semalam.

Calon Barisan Nasional (BN), Japirin Sahadi dari Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mengesahkan perbuatan mengibarkan bendera parti politik di kediaman penduduk sebagai tanda sokongan kepada wakil rakyat tertentu tidak lagi menjadi 'trending' di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang.

Beliau berkata, kebiasaan dulu memang letak bendera di setiap rumah itu menjadi amalan penduduk sebagai tanda sokongan kepada calon wakil rakyat yang menjadi pilihan mereka.

"Tapi sekarang saya tengok macam ada perlahan sikit itu bendera (dikibarkan) di rumah," katanya ketika ditemui sewaktu mengadakan lawatan ke Kampung Debut Langsat di Kundasang, Sabah, semalam.

Mengulas lanjut 'trending' baharu yang sedang berlaku pada ketika ini, Japirin berkata, senario tersebut mungkin terjadi disebabkan penduduk masih dalam dilema dan belum memutuskan siapakah yang bakal diundi mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang akan diadakan pada Sabtu ini.

"Keadaan itu berlaku kerana ketiadaan sokongan kepada calon-calon tertentu dan ia juga mungkin terjadi disebabkan keraguan terhadap penyandang atau wakil rakyat yang dipilih sebelum ini," ujarnya.

Kediaman warga Kundasang yang biasanya meriah dengan kibaran bendera parti, tetapi pada PRN kali ini senario itu tidak berlaku.

Jelas beliau, sememangnya menjadi 'trending' di Sabah, mengibarkan bendera parti politik tertentu merupakan satu tanda sokongan penduduk berkenaan kepada calon parti tertentu.

"Di sini memang dia punya 'trend' begitu, kalau dia sudah letak bendera di depan rumah itu, memang itulah yang dia akan undi, tapi sekarang ini saya tengok tidak ada," katanya.

Menurut Japirin, keadaan tersebut menjadikan persaingan di DUN Kundasang lebih terbuka dan pasukannya sudahpun mengenal pasti pendirian penduduk-penduduk terlibat.

"Saya ingat ini satu pendekatan yang baharulah di sini, ia satu trend baharu dan perubahan ini memang luar biasa sikit," katanya.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.