Tiada Kes Terhadap Najib: Shafee Desak Pembebasan Serta-Merta Dalam Perbicaraan 1MDB – Datuk Hasnal


Prosiding perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak, hari ini berlangsung separuh hari dengan tumpuan utama hujahan pembelaan terhadap kredibiliti saksi utama dan ketepatan bukti dokumen yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Menurut Datuk Hasnal Rezua Merican, ketua pasukan pembelaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa beberapa keterangan penting tidak boleh diterima kerana bersifat dengar cakap berganda (double hearsay) dan tidak disokong bukti langsung.

Shafee memetik kes rujukan PP v. Supramanium yang diputuskan oleh Privy Council, menegaskan bahawa kenyataan pihak ketiga dalam hal ini Jho Low yang tidak hadir di mahkamah, tidak sah menurut undang-undang keterangan.

“Kenyataan seperti ‘Jho Low memberitahu saksi bahawa Dato’ Sri Najib memberi arahan’ adalah bentuk double hearsay yang tiada nilai probatif,” tegas Shafee.

Namun suasana mahkamah berubah tegang apabila Shafee menyatakan dengan lantang bahawa tiada kes langsung terhadap Dato’ Sri Najib, dan beliau wajar dilepaskan serta-merta.

“Yang Arif, dengar betul-betul hujahan saya. Menjelang akhir hujahan ini, cukup jelas bahawa tiada kes terhadap Dato’ Sri Najib Razak. Beliau patut dilepaskan dan dibebaskan hari ini juga,” katanya disambut perhatian penuh galeri mahkamah.

Hasnal menjelaskan, Shafee turut mengulas mengenai kenyataan beberapa saksi seperti Shahrol Azral dan Jasmine Loo yang mendakwa Jho Low pernah menyebut bahawa arahan datang daripada Najib. Namun, kerana Jho Low tidak dibawa ke mahkamah maka kenyataan ini kekal sebagai double hearsay yang tidak boleh dipakai.


Klik Di SINI untuk video

Pihak pendakwaan sebelum ini berhujah bahawa kes mereka dikecualikan berdasarkan Subramanium v. Pendakwa Raya, namun pembelaan menegaskan pengecualian itu tidak relevan.

“Jika pendakwaan sendiri tidak berminat membuktikan bahawa arahan datang daripada Dato’ Sri Najib, maka beliau wajar dibebaskan serta-merta,” ujar Hasnal.

Shafee turut menolak konsep “mirror image” dan “top-down instruction” yang digunakan pendakwaan untuk mengaitkan Najib dengan tindakan 1MDB, menyifatkannya sebagai “rekaan tanpa asas undang-undang”.

“Undang-undang korporat hanya mengiktiraf prinsip seperti alter ego, thinking mind dan willing power dan bukan teori rekaan seperti mirror image,” jelasnya.

Hujahan pembelaan turut memberi fokus kepada mesej BlackBerry Messenger (BBM) antara pegawai AmBank, Joanna Yu, dan Jho Low.

Shafee menegaskan, hujahan Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair semalam tidak tepat apabila mendakwa mesej berkenaan merujuk kepada surat kepada Bank Negara. Berdasarkan semakan mesej BBM penuh dan soal balas saksi, Joanna sebenarnya merujuk kepada surat sumbangan Arab Saudi keempat yang diterima AmBank sekitar Jun 2014, bukan Januari 2015 seperti didakwa.

Perkara ini sekaligus menafikan dakwaan saksi Jasmine Loo bahawa surat tersebut dipalsukan oleh mendiang Kee Kok Thiam di London pada tahun berikutnya.

Menurut Shafee, percanggahan keterangan Jasmine Loo membuktikan bahawa beliau bukan saksi yang boleh dipercayai.

“Bukti mesej BBM menunjukkan AmBank telah memiliki keempat-empat surat sumbangan Arab Saudi sebelum dana dimasukkan ke akaun peribadi Dato’ Sri Najib,” hujah Shafee.

Katanya lagi, asas pertuduhan bahawa surat sumbangan Arab itu palsu kini “goyah sepenuhnya”.

Mahkamah kemudian menangguhkan perbicaraan ke 4 November 2025 (Selasa) bagi memberi ruang kepada Shafee menamatkan hujahan pembelaan dan membolehkan pihak pendakwaan menjawab isu-isu baharu yang dibangkitkan.

Adakah episod seterusnya bakal menyaksikan perubahan besar dalam perjalanan kes 1MDB atau sekadar satu lagi pusingan hujahan yang berulang?

Semuanya akan terjawab minggu depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.