“Tanpa Sokongan Dari KDM Kita Tetap Boleh Menang” – Hajiji

poster sedang viral

Samada benar atau tidak tangkap layar yang sedang tular di media sosial itu, satu perkara pasti adalah kenyataan yang dikaitkan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor itu dilihat amat sombong dan bongkak.

Dalam politik Sabah yang penuh sensitiviti etnik, kenyataan seperti itu bukan sahaja berisiko malah boleh dianggap satu penghinaan terhadap blok politik KDM (Kadazan-Dusun-Murut) yang menjadi antara nadi penting politik negeri ini sejak berdekad.

PN mengaku penyokong mereka majoriti dari KDMR

Menurut sumber dalaman yang dekat dengan pimpinan GRS sendiri, keyakinan meluap Hajiji ini berpunca daripada jaminan yang diberikan oleh kepimpinan Pakatan Harapan (PH) di peringkat pusat. Malah, dikatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah memberi “lampu hijau” bahawa Hajiji akan kekal sebagai Ketua Menteri sekiranya gabungan GRS-PH berjaya mengekalkan kuasa selepas PRN Sabah ke-17 nanti.

Inilah yang mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan akar umbi, terutama penyokong KDM yang selama ini berasa mereka dipinggirkan.

Mereka melihat kenyataan itu seolah-olah Hajiji tidak lagi memerlukan kerjasama mana-mana pihak termasuk rakan dalam negeri sendiri kerana kononnya beliau sudah ada ‘payung besar’ di Putrajaya.

Jika benar kenyataan itu keluar daripada mulut Hajiji, maka ia jelas menunjukkan mentaliti kuasa mutlak yang kini menjangkiti GRS seolah-olah Sabah ini milik mutlak satu kelompok elit politik yang hanya pandai bermain strategi di belakang tabir sementara rakyat dijadikan alat permainan pilihanraya.

Namun, sekiranya tangkap layar itu palsu, ia tetap menggambarkan hakikat persepsi rakyat terhadap GRS hari ini bahawa kerajaan negeri di bawah Hajiji sudah terlalu selesa dengan sokongan PH dan tidak lagi menghargai semangat muafakat tempatan.

Politik Sabah bukan sekadar angka di atas kertas atau janji persekutuan. Ia tentang maruah kaum, keseimbangan wilayah dan suara rakyat yang mahu pemimpin mereka menghormati realiti tempatan.

Kenyataan “tanpa sokongan KDM kita tetap boleh menang” adalah manifestasi bahaya kuasa yang terlalu yakin dan jika benar Hajiji mempercayai naratif itu, maka beliau sebenarnya sudah terputus dari denyut politik rakyat Sabah sendiri.

Tangkap layar boleh dipertikaikan tetapi sikap sombong dalam politik tidak boleh disembunyikan. Sama ada benar atau tidak, mesej yang tersirat tetap sama iaitu GRS kini semakin jauh daripada rakyat dan Hajiji semakin yakin bahawa takhta Ketua Menteri adalah miliknya yang kekal.

Namun sejarah politik Sabah sudah membuktikan berkali-kali tiada kuasa yang kekal lama apabila pemimpin mula memandang rendah pada sekutu dan rakyat sendiri. Tambahan pula GRS di selubungi dengan skandal rasuah yang didedahkan oleh Albert Tei yang sehingga kini ‘dilindungi’ oleh Putrajaya?

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.