KENINGAU - Tidak jemu mencari inisiatif pembangunan untuk rakyat di daerah Sook.
Itu merupakan komitmen calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N45 Sook, Dato' Sri Arthur Joseph Kurup yang berjaya membawa masuk satu lagi industri pertanian untuk manfaat rakyat di DUN itu.
Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, usaha Arthur membuka peluang penduduk Sook menyertai program tanaman nanas tempatan membuktikan kesungguhan beliau untuk meningkatkan taraf ekonomi di daerah itu secara berterusan.
"Pada Julai lalu, beliau (Arthur) selaku Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan memanggil kami dan bertanya bagaimana tanaman ini boleh membantu penduduk di kawasan Parlimen Pensiangan khususnya di Sook.
"Dari perbincangan sekurang-kurangnya ada dua program yang beliau minta untuk bantu rakyat di sini termasuklah industri nanas terutama di kawasan Kampung Sakikilo," katanya ketika di temui pada Program Libat Urus Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Daerah Sook di Kampung Johan Jaya baru-baru ini.
Program itu dilancarkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang turut membuat tinjauan projek penanaman padi bukit dan huma di kampung sekitar Sook.
Sheikh Umar Bagharib berkata, seramai 42 keluarga yang terdiri daripada golongan petani telah menyertai program penanaman berkonsepkan pertanian kontrak di Kampung Sakikilo.
Katanya, mereka telah menerima 5,000 sulur nanas, 300 kilogram baja dan sebuah mesin bajak dan menggembur tanah melalui program penanaman nanas itu.
Selain itu, katanya, projek sama juga bakal dilaksanakan di Kampung Sinua melibatkan penyertaan 695 peserta dan penyaluran 250,000 sulur nanas MD2.

Comments
Post a Comment