Tanah Perkuburan Kaulan Perlu Geran Sah Segera - Penduduk

Pengerusi Surau At-Tawwab Kampung Kauluan, Azmi Mansor menegaskan bahawa ketiadaan dokumen sah menimbulkan kebimbangan serius ekoran tanah perkuburan itu mudah terdedah kepada pertindihan pembangunan dan tidak mempunyai perlindungan undang-undang yang sewajarnya.


Penduduk Kampung Kauluan merayu agar proses pewartaan tanah perkuburan kampung itu dipercepatkan kerana kawasan berkenaan masih belum mempunyai geran rasmi walaupun telah digunakan sejak sekian lama.

Pengerusi Surau At-Tawwab Kampung Kauluan, Azmi Mansor menegaskan bahawa ketiadaan dokumen sah menimbulkan kebimbangan serius ekoran tanah perkuburan itu mudah terdedah kepada pertindihan pembangunan dan tidak mempunyai perlindungan undang-undang yang sewajarnya.

“Apabila wakil kami membuat semakan di Pejabat Tanah Daerah Ranau, kami dimaklumkan bahawa tanah perkuburan itu belum diwartakan, menandakan tidak ada tindakan susulan menyeluruh yang pernah disiapkan sebelum ini.

"Dalam aspek pengurusan, ia sering menjadi rumit kerana tiada hitam putih yang mengesahkan status kawasan tersebut walaupun ia telah lama dijadikan tempat persemadian penduduk," usulnya kepada calon BN N36 Kundasang, Japirin Sahadi dalam sesi lawatan dan kempen ke Markas BN Kampung Kauluan, di sini semalam.

Tambah Azmi, keadaan bertambah meresahkan apabila wujud projek pembangunan berhampiran kawasan berkenaan kerana mereka tidak mempunyai dokumen rasmi untuk mempertahankannya.

Beliau yang juga Setiausaha Barisan Nasional (BN) Kampung Kauluan menjelaskan bahawa semakan sempadan turut menunjukkan tanah perkuburan itu berada sangat hampir dengan laluan jalan raya sedia ada, menjadikan keperluan pengesahan rasmi semakin mendesak.

“Baru-baru ini, ketika kontraktor mahu melaksanakan pembinaan jalan merentasi kawasan perkuburan Islam di situ, kami tidak dapat mempertahankan kawasan itu kerana ketiadaan geran yang mengesahkan ia Tanah Perkuburan Kauluan, namun bantahan keras yang dibuat penduduk telah berjaya menghentikan projek terbabit buat sementara waktu.

“Proses dokumentasi pernah dimulakan sebelum ini tetapi tidak pernah diselesaikan, menyebabkan status tanah kekal tergantung dan menyukarkan sebarang perancangan jangka panjang," katanya.

Dalam masa sama, penduduk memaklumkan bahawa kawasan perkuburan itu mempunyai keluasan kira-kira dua ekar dan hanya sebahagian kecil sahaja yang telah digunakan penduduk setempat sama ada untuk pengebumian kariah Islam atau bukan Islam.

Mereka berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera bagi mempercepatkan pewartaan dan pengeluaran geran rasmi demi memastikan tanah perkuburan kampung itu dilindungi serta diiktiraf sepenuhnya untuk kepentingan generasi akan datang.

Kampung Kauluan didiami hampir 1,000 penduduk dengan komposisi 50 peratus Muslim manakala selebihnya bukan Islam bergantung kepada aktiviti pertanian dan pelancongan kecil sebagai sumber pendapatan.

Kampung ini juga terletak berhampiran Gunung Kinabalu, menjadikannya lokasi menarik bagi pelancong tempatan dan antarabangsa.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.