![]() |
| Ezarin Kunis |
Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) N36 Kundasang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 menunjukkan kesediaan jelas untuk menamatkan era kepimpinan lama selepas gagal menyelesaikan isu asas sepanjang lebih dua dekad memimpin.
Tinjauan di Kampung Timbua, Ranau mendapati, rata-rata pengundi yang juga penduduk setempat menegaskan bahawa rekod panjang tanpa peningkatan ketara bukan lagi alasan untuk mengekalkan mandat, apatah lagi diberikan peluang.
Seorang pesara tentera, Ezarin Kunis, 47, berkata, kegagalan menyelesaikan isu jalan, jambatan dan infrastruktur pertanian serta pelancongan telah merencatkan perkembangan ekonomi Kundasang untuk tempoh terlalu lama.
“Kalau dalam lima penggal pun jalan utama masih tidak siap, itu bukan masalah kecil tetapi kegagalan pengurusan yang serius. Bayangkan apa yang kami lalui selama ini.
“Kami mahu pemimpin yang tahu merancang, memantau dan memastikan projek dilaksanakan, bukan sekadar memberi janji khususnya ketika pilihan raya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Dalam masa sama, tinjauan juga mendapati penduduk secara lantang menyuarakan mesej bahawa kesabaran terhadap kelemahan pentadbiran terdahulu sudah sampai ke hadnya.
![]() |
| Mohd Lutfi Juhumat |
Mohd Lutfi Juhumat, 43, yang bekerja sebagai petani berkata, pemimpin berwibawa dan berjiwa rakyat harus bijak meluangkan masa turun padang memantau masalah setempat termasuk mengambil tahu perkembangan mana-mana projek pembangunan yang telah dirancang.
“Kalau pemimpin tidak mendengar dan tidak turun padang, memang mustahil mereka memahami beban sebenar rakyat. Rakyat bukan minta perkara luar biasa tetapi hanya mahu masalah asas diselesaikan dengan serius," ujarnya.
Setakat ini, tidak keterlaluan sekiranya penulis meletakkkan hipotesis bahawa sokongan terhadap calon Barisan Nasional (BN), Japirin Sahadi meningkat ekoran penduduk melihat pendekatan beliau lebih profesional, sejajar dengan keperluan kawasan.
Mereka juga melihat sikap beliau yang lebih aktif bertemu penduduk sebagai petanda kesediaan mengambil tanggungjawab membela nasib Kundasang yang tenat dengan janji-janji palsu sepanjang lima penggal lepas.
![]() |
| Hasrin Gaupin |
Sementara itu, Hasrin Gaupin, 43, yang bekerja sendiri berpendapat keakraban antara pemimpin dengan rakyat sangat penting bagi merasai kesengsaraan penduduk yang hidup dalam kedaifan dengan hanya melihat dengan mata kasar.
"Jika pemimpin lama sendiri tidak rapat dengan rakyat, bagaimana mereka boleh mendakwa memahami apa yang perlu diubah. Bagi saya, perubahan lebih wajar daripada terus memberi peluang kepada pentadbiran yang tidak menunjukkan hasil,” jelasnya.
Sehubungan dengan itu, penulis merasakan bahawa pengundi Kundasang kini lebih kritikal dan mengutamakan keberkesanan, bukan lagi kesetiaan politik.
Dengan perubahan corak sokongan yang sudah mula menonjol, ia mencerminkan permintaan pengundi terhadap kepimpinan yang mampu memberikan keputusan yang boleh diukur.
Dengan arus tuntutan pembaharuan yang semakin kuat, Kundasang dilihat sebagai kawasan penentu sama ada rakyat Sabah benar-benar bersedia meninggalkan politik lama demi pentadbiran berprestasi tinggi.



Comments
Post a Comment