Sook bertuah miliki pemimpin seperti Arthur


Norzie Mohd. Khasbi

NABAWAN: Bijak merancang, mengotakan janji dan memiliki 'report card' yang sangat cemerlang.

Barisan Nasional (BN) Sabah bertuah dapat mengetengahkan calon dengan kredibiliti tinggi seperti Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook, kata Ketua Wanita Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) pusat, Datin Zainon Kayum Khan.

Menurut Zainon, biarpun lawan yang bakal ditentang oleh Presiden PBRS itu tidak mudah, terutama Datuk Ellron Angin dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang tidak pernah kalah sejak 2008 tetapi rekod Arthur memberi keyakinan kepada BN untuk menawan Sook.


Katanya, pengundi boleh menilai sendiri pencapaian Arthur sebagai Ahli Parlimen Pensiangan apabila beliau mengotakan janji-janji yang dibuat ketika bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2022.

"Kita sangat bertuah kerana memiliki definisi sebenar seorang pemimpin. Beliau (Arthur) bukan sahaja bijak merancang, malah mengotakan janjinya dengan membawa banyak pembangunan serta kemajuan di parlimen.

"Walaupun ini kali pertama beliau bertanding di DUN tetapi orang-orang Sook sangat mengenali Arthur sebagai tokoh yang membawa kemajuan di Pensiangan.

"Apa yang beliau lakukan dirasai oleh rakyat di ketiga-tiga kawasan iaitu Nabawan, Tulid dan Sook sendiri," kata Zainon ketika ditemui pada penamaan calon Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN) Sabah DUN Sook, Nabawan dan Tulid semalam.

Menaik taraf jalan Sapulut ke Pekan Pagalungan sejauh 46 kilometer yang dijangka siap pada 2026 antara projek besar yang dilakukan Arthur sebagai Ahli Parlimen Pensiangan.








Beliau juga telah memulakan projek menaik taraf beberapa jalan lain seperti jalan Sinaron, Sook ke Lunayukan, Tongod, jalan Pekan Pagalungan ke Pensiangan serta jalan Rancangan Beliau Tiulon ke Kampung Simbuan.

Meningkatkan liputan telekomunikasi dan internet dengan menaik taraf 144 menara pembinaan, selain 49 menara baharu antara projek besar anak kelahiran Sook.

Bidang pendidikan juga antara yang mendapat perhatian Arthur, 43, menerusi pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dalit yang baharu dan pembinaan bangunan baharu Pusat Tingkatan 6 SMK Nabawan.

Arthur tidak hadir semata-mata dengan meminjam reputasi besar mendiang bapanya, Tan Sri Joseph Kurup, sebaliknya beliau mampu mencipta pencapaian kerana kemampuan sendiri.

Sementara itu kata Zainon, BN juga tidak tampil sebagai parti yang suka memainkan sentimen kenegerian seperti 'tolak Malaya' sebaliknya fokus mereka hanya untuk membawa pembangunan di Sabah.

Katanya, jawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang disandang oleh Arthur di peringkat pusat membuktikan kedudukan itu boleh membawa banyak manfaat kepada penduduk di Pensiangan.

"Tidak, kita tidak akan sesekali bermain politik kenegerian. Hubungan baik presiden parti dengan kerajaan pusat sebenarnya membawa banyak kelebihan kepada kita," ujarnya.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.