Sook berpotensi jadi gedung jaminan makanan Sabah


FAIZAH IZZANI ZAKARIA

KENINGAU - Daerah Sook berpotensi menjadi gedung jaminan makanan yang baharu di Sabah apabila lebih banyak usaha mempertingkatkan hasil pengeluaran pertanian bakal dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, antara tanaman yang dilihat berpotensi besar itu termasuklah padi bukit dan huma yang menjadi antara utama di daerah ini.

"Kita mahu melihat penanaman padi bukit di sini beralih arah ke tahap lebih tinggi bukan sekadar untuk kegunaan sendiri, tetapi mampu dikomersilkan sebagai beras premium," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Libat Urus Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Daerah Sook di Kampung Johan Jaya, di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato' Sri Arthur Joseph Kurup yang merupakan Ahli Parlimen Pensiangan serta calon Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

Pada majlis itu, Mohamad turut melancarkan Bantuan Input di bawah Skim Baja Padi Bukit dan Huma (SBRPB) bagi tahun 2025 yang memperuntukan dana berjumlah RM42 juta untuk diagihkan kepada 32,047 pesawah padi bukit dan huma di Sabah dan Sarawak.

Katanya, skim bantuan ini akan meningkatkan produktiviti penanaman padi bukit selain mengurangkan kos input pertanian serta meningkatkan pendapatan pekebun kecil di kawasan pedalaman di dua negeri itu.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.