Sokongan rakyat kepada Japirin meningkat

SOMINAH MAJAIP

Calon Barisan Nasional (BN), Japirin Sahadi daripada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) berpeluang cerah untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang berdasarkan sambutan yang diberikan penduduk kepadanya.

Ketua Wanita PBRS, Sominah Majaip berkata, setakat ini, penerimaan rakyat Kundasang terhadap Japirin amat memberangsangkan, malah, sokongan kepada calon No. 8 itu juga semakin bertambah.

“Beliau merupakan calon yang memang dikenali ramai, daripada Pensiangan, Bundu Tuhan hinggalah ke Ulu Sugut, beliau amat dikenali.

“Saya sendiri pun berasal dari pedalaman, beliau walaupun masih belum menjadi wakil rakyat, tapi sejak dulu lagi beliau betul-betul ambil peduli dengan orang di pedalaman,” katanya ketika ditemui di Dewan Komuniti Kelimu, Kundasang, Sabah, hari ini.

Menurut Sominah, sudah tiba masanya penduduk di Kundasang melakukan perubahan dan Japirin selaku anak jati di daerah itu wajar diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat di daerah tersebut.

Ketika ditanya pula mengapa perubahan tersebut perlu dilakukan, jelas beliau, warga di Kundasang sudah terlalu lama berada di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang telahpun memegang kerusi DUN Kundasang selama lima penggal.

“Pasal Datuk Joachim, saya bukan jenis orang yang mudah menghakimi. Cuma saya cakap, kami di DUN Kundasang, kami mahu perubahan.

“Kami mahu wakil rakyat yang baharu, itu sahaja. Soal Datuk Joachim, saya tidak mahu cakap apa-apa, sebab kami sebagai pengundi di Kundasang, kami yang merasa dan kami yang melihat,” ujarnya.

Justeru, Sominah berharap, Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, keputusan berpihak kepada Japirin pula dan pengundi-pengundi sekarang tidak kira orang muda atau pengundi lama, fikir-fikirkan kenapa perubahan perlu dilaksanakan kali ini.

“Selalunya saya akan katakan dengan penyokong setiap kali saya masuk kampung, saya katakan bersama pemimpin yang lama kita sudah rasa, kita nampak apa yang pernah dia buat dengan kita.

“Adakah kita masih sokong dia? Adakah kita masih bagi dia peluang untuk lima tahun akan datang, 10 tahun akan datang? Sebab sebelum ini pun, kami bagi peluang, tapi macam dia lupa buat kerja,” katanya.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.