Krisis integriti politik Sabah kembali memuncak apabila Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau secara terbuka mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang mengulas bahawa tiada bukti kukuh berkaitan skandal rasuah besar melibatkan beberapa pemimpin negeri itu.
Di media sosial, Madius menzahirkan kekesalan dan rasa hairan mengapa penilaian mengenai kekuatan bukti dibuat oleh Perdana Menteri bukan oleh pihak yang sepatutnya menguruskan siasatan dan pendakwaan.
Kenapa bukan Timbalan Pendakwa Raya atau Peguam Negara?”
Teguran itu hadir selepas Anwar menyatakan bahawa video yang dikeluarkan ahli perniagaan, Albert Tei, tidak mencukupi sebagai asas pendakwaan. Tei sebelum ini mendedahkan beberapa klip video memaparkan pemimpin GRS menerima sogokan bagi memudahkan permohonan lesen penerokaan mineral.
Namun persoalan lebih besar timbul apabila pendedahannya tidak sekadar bergantung kepada video. Tei mendakwa beliau telah menyerahkan lebih 300 muka surat bukti tambahan kepada SPRM termasuk jejak wang, penyata bank, dokumen sokongan dan surat-menyurat rasmi.
Mengapa ini masih tidak cukup untuk meyakinkan pihak berkuasa?
Dan lebih penting, mengapa Perdana Menteri pula yang menilai tahap bukti?
viral di media sosial
viral di media sosial
Daripada 14 ahli politik Sabah yang dikaitkan dalam video–termasuk beberapa nama besar dalam pentadbiran negeri–hanya dua telah didakwa, Andi Suryady Bandy, Adun Tanjung Batu dan Yusof Yacob, Adun Sindumin
Kedua-duanya, bersama Albert Tei, berdepan pertuduhan melibatkan transaksi setengah juta ringgit. Menariknya, kedua-dua mereka tidak bertanding dalam PRN kali ini.
Namun 10 lagi, termasuk Ketua Menteri sementara Hajiji Noor, kekal bertanding seolah-olah badai skandal tidak pernah wujud.
Kenyataan Anwar bahawa klip video “tidak cukup” tanpa bukti pemindahan wang menimbulkan persoalan lebih besar apakah PM kini mengambil alih fungsi SPRM dan Jabatan Peguam Negara?
Sedangkan dalam banyak kes lain, SPRM tidak pernah menunggu “rakaman penyerahan duit” untuk membuka kertas siasatan atau membuat pendakwaan.
Jika benar lebih 300 halaman bukti telah diserahkan, persoalannya, adakah ia telah diperhalusi sepenuhnya? Adakah ia disimpan? Atau adakah ia tidak selari dengan naratif politik tertentu?
Naratif bahawa bukti “tidak cukup” hanya mengukuhkan persepsi lama bahawa Sabah adalah medan elit politik kebal–bukan kerana mereka tidak bersalah, tetapi kerana sistem tidak berani menyentuh mereka.
Dengan PRN semakin hampir, tindakan mendiamkan atau meremehkan skandal sebesar ini hanya akan menambah keresahan, membuka ruang spekulasi, dan menjejaskan keyakinan terhadap institusi negara.
Jika benar ketelusan menjadi prinsip kerajaan perpaduan, maka ia harus bermula dengan memberi ruang sepenuhnya kepada SPRM, bukannya ulasan awal yang boleh dilihat sebagai cubaan membentuk persepsi.
Sabah sudah terlalu lama bergelumang dengan politik perlombongan, lesen mineral dan budaya “duit jalan”.
Apa yang rakyat tuntut kini bukanlah alasan, tetapi jawapan dan tindakan.


Comments
Post a Comment