Sikap merendah diri Japirin disenangi warga Kundasang

KOHADIE WATIMAN

Imej yang bersih, merendah diri dan mudah didekati itu maklum balas daripada warga Kundasang apabila ditanya mengenai calon Barisan Nasional (BN), Japirin Sahadi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, minggu depan.

Selain itu, faktor anak jati Kundasang juga menyebabkan Japirin dilihat antara calon popular dan mampu mencabar kerusi N36 yang telah disandang Datuk Seri Joachim Gunsalam dari parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selama lima penggal.

Salah seorang sahabat lama Japirin iaitu Timbalan Presiden Persatuan Homestay dan Kampungstay Malaysia, Kohadie Watiman ketika diminta mengulas mengenai calon No. 8 itu berkata, Japirin memiliki personaliti yang disenangi ramai.

“Saya melihat dalam kalangan orang muda, amat menyenangi Japirin yang dilihat mampu menghadirkan perubahan di Kundasang,” katanya ketika ditemui di Rumah Inap Walai Tokou dekat Kundasang, kelmarin.

Kohadie berkata, tanpa bersikap berat sebelah, beliau tidak boleh menafikan sumbangan yang telah diberi penyandang kerusi N36, tetapi, orang muda berasakan Kundasang tiada kemajuan.

“Ramai (pengundi) saya tanya mereka, calon pilihan itu mesti mampu bawa perubahan, malah, ada yang berkata sejak saya belum lahir, dia (Joachim) sudah memimpin.

“Sehinggalah sekarang dia masih memimpin, tetapi, tiada perubahan yang dia buat. Itu kata-kata mereka, bukan kata-kata saya,” ujarnya.

Walaupun tidak menyatakan secara jelas mengenai calon yang dimaksudkan, tetapi, gambaran yang diberi Kohadie mengenai pengganti di DUN Kundasang mestilah wajah baharu dan Japirin antara yang disebut menjadi pilihan.

Ketika ditanya lanjut mengenai Japirin, beliau berkata, sahabatnya itu merupakan insan yang merendah diri dan calon BN yang mewakili Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) tersebut memiliki kredibiliti menjadi wakil rakyat yang mampu mendengar keluhan penduduk di Kundasang.

Sementara itu, seorang pengusaha warisan budaya, Kamarul Azman Kowasin, 29, ketika ditemui pula berkata, Kundasang amat memerlukan perubahan dan sebagai pusat pelancongan, kemudahan asas amat penting terutama jalan raya yang masih perlu dinaik taraf.

“Saya tidak melihat ada sebarang perubahan di Kundasang, jadi, mungkin kali ini pemimpin yang baharu diperlukan untuk kemajuan di daerah ini,” katanya.

Kamarul Azman (dua dari kiri) dan Mohammad Hakimii Hamka (tiga dari kiri) antara generasi muda Kundasang yang mahukan perubahan di daerah itu.

Seorang penuntut Kejuruteraan Teknologi Automotif dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Mohammad Hakimii Hamka, 23, turut memiliki pandangan sama bahawa warga Kundasang amat memerlukan perubahan.

“Kita perlukan pemimpin yang mampu membawa pembangunan di sini bersama idea-idea baharu bagi memajukan Kundasang terutama kemudahan asas seperti jalan raya dan juga sekolah yang selamat,” katanya.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.