Selama 25 tahun, Joachim gagal puaskan hati penduduk

JUMIN KUNDIPAI

Selama 25 tahun Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dipilih mewakili warga Kundasang di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi, malangnya sepanjang tempoh itu bukan semua yang menerima khidmat beliau sebagai wakil rakyat.

Salah seorang penduduk di Kampung Tarawas, Kundasang, Jumin Kundipai, 68, berkata, tidak banyak bantuan yang berjaya ditunaikan Joachim sepanjang beliau bergelar sebagai wakil rakyat selama lima penggal.

“Tidak berapalah (bantuan yang diterima), banyak yang dia tidak tunaikan. Antaranya jalan raya ke kebun, jambatan gantung masih tidak boleh pakai, pembaikan pun tiada,” katanya ketika ditemui sewaktu calon DUN Kundasang, Japirin Sahadi mengadakan lawatan ke kampung berkenaan, semalam.

Jumin yang merupakan seorang petani berkata, dia kadang kala terpaksa memikul sendiri hasil tani meredah sungai untuk di bawa keluar ke pasar.

Katanya, jika musim tengkujuh dan banjir berlaku, tidak mungkin dia mampu berbuat demikian kerana air sungai akan naik tinggi.

“Saya menyeberang sendiri (sungai) kerana jambatan sudah rosak, tapi, kalau banjir, itu yang jadi masalah, hasil kebun akan buruk (rosak) sementara menunggu air surut,” ujarnya.

Jumin memberitahu, aduan kepada wakil rakyat telah banyak kali dibuat, tetapi, malangnya sehingga kini tiada apa-apa perubahan.

“Kami memang ada minta jambatan dibina semula, dia bilang akan bantu, tetapi, sampai sekarang pun tiada,” tegasnya.

Jumin merupakan salah seorang penduduk di kawasan pedalaman yang tercicir daripada arus kemodenan Sabah dan wakil rakyat yang seharusnya membantu rakyat, gagal berfungsi bagi membantu mereka hidup lebih selesa.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.