Ahli Parlimen Libaran, YB Datuk Suhaimi Nasir menegaskan bahawa sekiranya wujud sebarang bentuk salah tadbir urus atau penyalahgunaan kuasa dalam Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), kerajaan negeri wajar mengambil tindakan tegas dengan melakukan rombakan menyeluruh terhadap kepimpinan dan struktur pentadbirannya.
Beliau menegaskan institusi agama seperti MUIS bukan sekadar sebuah badan pengurusan tetapi amanah besar yang berpaksikan tanggungjawab syariah dan moral untuk menjaga kepentingan umat Islam di Sabah termasuk urusan zakat, wakaf serta pembangunan ummah.
“Dalam Islam, tadbir urus yang adil dan telus adalah satu bentuk ibadah,” katanya sambil memetik firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal, Ayat 27:
‘Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang diserahkan kepada kamu sedangkan kamu mengetahuinya.’
Menurut beliau, sebarang pelanggaran amanah bukan hanya kesalahan pentadbiran tetapi pengkhianatan terhadap tanggungjawab agama. Justeru, kerajaan negeri tidak boleh berdiam diri atau bersikap defensif dalam isu yang melibatkan integriti institusi Islam.
“Jika ada bukti salah tadbir maka tindakan mesti diambil. Bukan sekadar siasatan dalaman tetapi mesti disusuli dengan reformasi struktur dan sistem audit yang lebih telus,” tegas beliau lagi.
YB Datuk Suhaimi turut menambah bahawa umat Islam di Sabah berhak melihat MUIS tampil sebagai contoh ketelusan dan integrity bukannya dijadikan tempat perlindungan kepada kepentingan politik atau individu tertentu.
“Kerajaan negeri perlu berani melakukan pembetulan. Ini bukan sekadar isu pentadbiran, tetapi isu amanah dan maruah umat Islam di negeri ini,” katanya.

Comments
Post a Comment