Data rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi tahun 2024 menjadi tamparan hebat kepada kerajaan negeri Sabah.
Dalam laporan produktiviti buruh negara itu, Sabah sekali lagi mencatat kedudukan tercorot satu isyarat jelas bahawa dasar ekonomi di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan sahaja gagal memacu pertumbuhan malah sedang menjerumuskan negeri ini ke arah kemerosotan yang membimbangkan.
Berdasarkan laporan DOSM, pertumbuhan produktiviti buruh Sabah menunjukkan trend negatif, berbeza sama sekali dengan negeri-negeri lain seperti Selangor, Johor, dan Pulau Pinang yang mencatat peningkatan.
Negeri jiran, Sarawak, misalnya, merekodkan peningkatan produktiviti lebih daripada 3%, hasil pelaburan aktif dalam sektor tenaga, industri berat, dan teknologi hijau.
Namun di Sabah, angka yang sepatutnya menggambarkan kecekapan tenaga kerja dan daya saing ekonomi itu menjunam dan ini mencerminkan bahawa slogan pembangunan yang sering dilaungkan pemimpin GRS tidak berpijak di realiti.
Hakikatnya, pelaburan yang diwar-warkan tidak memberi limpahan ekonomi kepada rakyat tempatan.
Sektor pembuatan yang menjadi antara nadi utama ekonomi moden telah mencatat penguncupan ketara sebanyak -5% dan ini menjadikan Sabah antara negeri paling lemah dalam menjana pekerjaan bernilai tinggi.
Kegagalan ini bukan sekadar angka di atas kertas tetapi memberi petunjuk bahawa semakin ramai anak muda Sabah kehilangan peluang kerja berkualiti dan akhirnya terpaksa berhijrah ke negeri lain.
Bandingkan dengan Johor yang kini menjadi hab perindustrian termaju di Malaysia dengan ribuan peluang kerja berkemahiran tinggi. Sabah pula masih bergelut dengan isu asas terutama infrastrukturnya lemah, kos logistik tinggi dan ketiadaan ekosistem pelaburan yang kondusif. Akibatnya, tenaga kerja mahir Sabah berhijrah ke Semenanjung atau Sarawak dengan membawa bersama potensi dan kemahiran yang sepatutnya memacu ekonomi negeri sendiri.
Fenomena kemerosotan ini bukan satu kebetulan. Ia berpunca daripada kelemahan struktur dan dasar yang tidak disusun berasaskan realiti pasaran.
GRS dilihat terlalu bergantung kepada naratif “pembangunan luar bandar” dan “projek mega” yang tidak memberi impak langsung kepada produktiviti atau kebajikan rakyat.
Projek-projek diumum dengan gah, namun pelaksanaannya sering terbantut oleh birokrasi, ketirisan terutamya rasuah dan ketiadaan keutamaan yang jelas.
Pelabur asing pula semakin berhati-hati dan melihat Sabah sebagai pasaran berisiko tinggi akibat dasar ekonomi yang tidak konsisten dan pergolakan politik dalaman yang berterusan.
Apabila kadar pengangguran belia yang meningkat dan gaji median yang masih di bawah purata nasional, Sabah kini berdepan krisis keyakinan terhadap model ekonomi sedia ada. Rakyat semakin skeptikal terhadap janji-janji pembangunan yang tidak berkesudahan sedangkan realitinya mereka terus bergelut dengan kos sara hidup tinggi dan peluang pekerjaan yang semakin sempit.
Sekiranya tiada anjakan dasar yang menyeluruh termasuk pembaharuan struktur ekonomi, reformasi pentadbiran dan strategi pelaburan yang berpaksikan nilai tambah maka Sabah akan terus ketinggalan jauh di belakang negeri lain dalam dekad akan datang.
Kejatuhan produktiviti buruh bukan sekadar statistic tetapi cerminan kegagalan kepimpinan. Sabah memerlukan kerajaan yang benar-benar memahami ekonomi moden, mampu menarik pelaburan berkualiti dan menjamin peluang pekerjaan untuk rakyatnya sendiri.
GRS boleh terus bermain politik dan menjual naratif Pembangunan tetapi angka dari DOSM tidak menipu.
Fakta menunjukkan Sabah semakin mundur di bawah pentadbiran mereka. Kini rakyat Sabah perlu membuat pilihan terus percaya pada retorik lama atau bangkit menuntut kerajaan yang benar-benar tahu mentadbir ekonomi negeri dengan keberanian dan integriti.
Satu kerajaan sahaja yang pernah membawa Sabah ke arah kecermerlangan dan ianya adalah Kerajaan Barisan Nasional.

Comments
Post a Comment