Ketegangan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) semakin ketara apabila keputusan meletakkan Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai calon di DUN Pintasan. Semuanya bukan lagi rahsia apabila rakaman audio yang dipercayai suara Pandikar Amin yang berang mula tersebar.
Tambah hangat apabila Pandikar yang mewakili USNO, diberikan kerusi yang sebelum ini milik Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS). Keputusan itu menyebabkan penyandangnya Ketua Pemuda PGRS, Fairuz Reddan diketepikan saat akhir. Perkara ini mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan ahli PGRS yang melihat tindakan tersebut sebagai “merampas” kerusi daripada parti mereka sendiri.
Keadaan bertambah panas apabila isteri Pandikar turut dicalonkan di DUN Sekong, sekali gus menguatkan persepsi bahawa pasangan itu sedang “memborong” peluang politik atas kapasiti hubungan peribadi dan bukannya merit atau kekuatan parti.
Persoalan timbul kenapa parti USNO yang tidak mempunyai kekuatan besar dari segi sokongan akar umbi memperoleh kelebihan luar biasa dalam pengagihan kerusi?
Ini menyebabkan rasa kurang senang di kalangan komponen GRS yang bekerja keras membina jentera dan pengaruh selama ini.
“Mereka dari USNO, ambil kerusi GRS, penyandang disingkir dan kini suami isteri pula bertanding.” Demikian rungutan yang banyak kedengaran dalam mesyuarat dalaman dan kumpulan akar umbi dan ini menggambarkan betapa besar gelombang rasa tidak puas hati penyokong GRS di kedua DUN tersebut. GRS kini berdepan cabaran untuk meredakan kemarahan dalaman bagi memastikan keputusan tersebut tidak menjejaskan reputasi gabungan dan mengelakkan tanggapan bahawa proses pemilihan calon telah dikuasai oleh kepentingan individu tertentu.

Comments
Post a Comment