Isu tanah, pelantikan politik, dan sikap panas baran Datuk Isnin Aliasnih mula kehilangan sokongan di gelanggang sendiri apabila suara rakyat Klias semakin lantang mempersoalkan prestasi wakil GRS itu.
Satu penggal diberi peluang sebagai wakil rakyat DUN Klias dan prestasi Datuk Isnin dinilai dengan 'markah' gagal sepenuhnya.
Kepimpinan Datuk Isnin, ADUN GRS bagi DUN Klias, kini menjadi bualan hangat di kalangan penduduk tempatan, dari isu tanah yang tak selesai hingga perangai panas baran di media sosial, ramai melihat beliau semakin jauh dari denyut nadi rakyat yang diwakilinya.
Antara yang begitu jelas membuktikan kegagalan Datuk Isnin di DUN Klias adalah isu tanah di Kampung Jimpangah dan Batu 60. Penduduk mendakwa masalah hak milik dan pengurusan lot kampung tidak diselesaikan walaupun aduan sudah berlarutan selama bertahun-tahun.
Ramai mula tertanya, di mana suara wakil rakyat ketika rakyat berdepan ketidakpastian terhadap tanah sendiri?
“Janji nak bantu dah lama, tapi sampai sekarang masih senyap,” kata seorang penduduk Kampung Jimpangah kepada Malaysia Hot.
Di Majlis Daerah Beaufort, muncul pula dakwaan lantikan berunsur politik. Beberapa individu dikatakan dilantik bukan atas merit tetapi kerana hubungan politik dengan Datuk Isnin. Langkah ini menimbulkan kemarahan dalam kalangan penjawat awam yang melihat institusi tempatan sepatutnya kekal neutral telah menjadi alat parti politik dan kepentingan politik Datuk Isnin.
Sementara itu, isu perparitan tersumbat dan banjir kilat terus menghantui beberapa kampung di sekitar Klias. Penduduk mendakwa masalah berulang setiap kali hujan namun tindakan nyata tidak kelihatan. Bagi mereka, Datuk Isnin lebih gemar ‘berdebat di Facebook’ daripada turun padang menyelesaikan masalah asas rakyat.
“Kalau tak mampu urus longkang kampung, macam mana nak urus suara rakyat?” sindir seorang pemimpin masyarakat tempatan.
Imej Datuk Isnin di media sosial juga semakin terjejas. Sikapnya yang cepat melenting, membalas komen dengan kata-kata kasar dan sindiran tajam telah menimbulkan persepsi negatif malah ada yang menyamakan gayanya dengan ketua parti negeri (Hajii) yang terkenal dengan perangai serupa.
Di era politik matang, tindakan sebegini dianggap tidak profesional dan hanya menambah jurang antara pemimpin dengan pengundi termasuk pengundi muda.
Isu pengurusan projek turut menjadi beban reputasi kerajaan GRS dan Datuk Isnin sendiri. Dewan Serba Guna Kota Klias contohnya, masih tidak mendapat peruntukan mencukupi bagi penyelenggaraan walaupun sudah lama dijanjikan.
Beberapa projek pembangunan kecil pula terbengkalai tanpa sebab jelas mencerminkan kelemahan penyelarasan dan ketidakcekapan pentadbiran di peringkat DUN.
Walaupun sudah beberapa tahun memegang kerusi DUN, Datuk Isnin gagal menonjol dalam isu besar negeri Sabah. Beliau jarang tampil dengan kenyataan yang bermakna di Dewan Undangan Negeri seolah-olah suara Klias sudah tenggelam dalam radar politik GRS.
Sebahagian penyokong mula mempersoalkan hala tuju dan komitmennya terhadap manifesto pilihan raya yang masih belum kelihatan hasilnya di lapangan. Imej Datuk Isnin kini berada di persimpangan di antara persepsi panas baran dan realiti prestasi hambar.
Jika keadaan ini berterusan, GRS bakal berdepan risiko kehilangan sokongan di Klias, kawasan yang suatu ketika dahulu dianggap kubu kuat mereka.
Rakyat kini mula bersuara: “Kami mahu pemimpin yang kerja, bukan yang pemarah.”
Tambahan pula Isnin Aliasnih terkenal dengan 'Katak Politik Dinamik', melompat dari UMNO-BN, Perikatan Nasional dan akhirnya ke GRS.

Comments
Post a Comment