PRU DUN Sabah: Arthur berdepan pertandingan lima penjuru

Oleh Norzie Mohd Khasbi

NABAWAN : Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Dato' Sri Arthur Joseph Kurup berdepan pertandingan lima penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Calon Barisan Nasional (BN) itu yang juga Ahli Parlimen Pensiangan dijangka berdepan tentangan sengit 'orang lama' yang juga penyandang kerusi Datuk Ellron Angin yang bakal bertanding sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Tiga calon lain adalah Joseph Peter Tinggi (Warisan), Ireneus Pagut @ Jerneus Pagut (Parti Solidariti Tanah Airku (STAR)) dan V Chong Vin @ Siau Ho dari Parti Impian Sabah (PIS).

Biarpun Ellron, 66, tidak pernah tewas di DUN Sook sejak 2008 namun senario kali ini dijangka berbeza dengan kehadiran Arthur yang dianggap sebagai calon pilihan pada PRN17.

Berusia 43 tahun, Arthur yang mengambil alih kepimpinan PBRS daripada bapanya, Joseph Kurup pada Januari 2025 semakin menonjol dalam politik Sabah.

Walaupun PRN kali ini adalah langkah pertama beliau ke gelanggang DUN, namun di peringkat Parlimen, karisma Arthur amat menyerlah selepas memenangi Parlimen Pensiangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan 2022.

Beliau juga adalah Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir hadir mengiringi calon ke pusat penamaan calon.

Turut hadir Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi mengiringi calon DUN Nabawan, Laiji Ompongoh.

Selain itu, Ketua Wanita PBRS Pusat, Datin Zainon Kayum Khan; Ketua Wanita PBRS Bahagian Sook, Angie Jampadin dan Ketua Wanita Bahagian PBRS Nabawan, Sinnama Bubuton turut kelihatan memberikan sokongan padu kepada Arthur.

Sementara itu, proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan Masyarakat Nabawan hari ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.