Sabah kini memasuki era politik paling panas dalam sejarah moden negeri itu. PRU DUN ke-17 bukan sekadar pertandingan antara parti politik tetapi medan untuk mempertahankan empayar keluarga, kroni dan sahabat rapat yang telah lama berpaut pada batang tubuh kuasa.
Kempen yang kononnya menjanjikan “perubahan dan pembangunan” realitinya Sabah menyaksikan politik yang diwarisi seperti harta pusaka.
Lebih memalukan maruah negeri Sabah, ramai daripada calon yang diangkat oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) kini dikaitkan pula dengan pendedahan video kontroversi oleh Albert Tei yang menyentuh soal rasuah projek lombong mineral serta pengaruh tokoh-tokoh besar dalam pelantikan dan kelulusan projek bernilai jutaan ringgit.
Menurut sumber war room, antara DUN yang melibatkan calon yang mempunyai hubungan keluarga:-
1. Sulaman dan Pantai Dalit melibatkan calon Pakcik dan anak buah
2. Tg Keramat, pertukaran dalam keluarga, dari abang kepada adik.
3. Parlimen Papar dan DUN Kawang melibatkan Pakcik dan Anak Buah
4. Bongawan dan Membakut melibatkan Bapa Mentua dan Menantu
5. Balung dan Apas melibatkan Pakcik dan Anak Buah
6. Pintasan dan Sekong melibatkan Suami dan Isteri sebagai calon.
7. Bingkor dan Liawan melibatkan Adik (STAR) dan Abang (GRS)
Dua parti, satu darah. Sekalipun berlainan bendera, hubungan keluarga menjadikan pertembungan mereka sekadar kosmetik politik. Rakyat bingung apakah ini pertandingan atau sandiwara?
8. Sindumin dan Sungai Manila melibatkan Abang (PH) dan Adik (GRS)
“Parti untuk urang-urang durang saja.”
Parti bukan lagi wadah rakyat tetapi platform pengkayaan dan penentuan nasib keluarga elit politik. Dalam setiap pelantikan calon, rakyat semakin jelas melihat corak lama diulang semula iaitu kroni dipelihara, pengkritik dipinggirkan dan rakyat hanya dijanjikan “projek esok-esok akan disiapkan”.
Adakah rakyat akan terus memilih nama besar yang berselindung di sebalik retorik Pembangunan atau berani menolak politik anak-pinak, politik kawan-kroni dan politik rasuah yang sudah menjadi barah?
Kini terpulang kepada rakyat untuk membuka mata dan menggunakan kuasa memilih.

Comments
Post a Comment