Di saat gelanggang politik Sabah semakin panas menjelang PRU DUN ke-17, satu perbezaan ketara muncul antara gabungan utama, siapa yang mengumumkan calon dan bagaimana calon-calon itu dipilih.
Pakatan Harapan memilih untuk mengekalkan gaya lama dengan pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, seorang pemimpin dari Semenanjung. Naratifnya mudah dibaca iaitu keputusan dari pusat mengarah ke negeri, gaya politik yang sudah sinonim dengan parti-parti Malaya.
Sebaliknya, Barisan Nasional Sabah tampil dengan pendekatan yang lebih autentik. Pengumuman calon dibuat sendiri oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menandakan mesej jelas bahawa parti itu memberi ruang kepada orang Sabah menentukan hala tuju Sabah.
Lebih menarik, statistik calon memperlihatkan perbezaan ketara dari sudut kelayakan dan pembaharuan dengan BN menjadi satu-satunya blok politik besar yang berani melakukan perubahan drastik dengan 80% calon muka baharu, ini menandakan kesediaan parti itu memberikan peluang kepada generasi baru, profesional, teknokrat dan pemimpin tempatan berpotensi.
Daripada segi akademik pula, 70% calon BN memiliki kelulusan ijazah dan ini sebagai indikator penting bagi sebuah pentadbiran moden yang memerlukan keupayaan teknikal, pemikiran strategik dan kompetensi realistik untuk mengurus negeri.
Walaupun membawa slogan perubahan, Warisan hanya memperkenalkan sekitar 40% calon baru, selebihnya masih wajah lama yang pernah bersama pentadbiran Shafie Apdal sebelum ini dan masih mengekalkan ‘calon anak beranak’.
GRS pula berada pada kedudukan lebih rendah dengan hanya 30% muka baharu. Lebih membimbangkan, gabungan itu terus mengekalkan beberapa individu yang dikaitkan dengan skandal lombong mineral yang meletup melalui pendedahan Albert Tei.
Jika wajah bermasalah terus diberi ruang, bagaimana rakyat boleh berharap kepada pentadbiran bersih?
Sabah tidak kekurangan peluang. Sabah tidak kekurangan potensi, yang Sabah perlukan hanyalah kepimpinan yang benar-benar memikirkan rakyat dan bukan mengekalkan sistem kartel malah bukan menyusun kuasa untuk anak-beranak termasuk bukan menghidupkan semula politik kelompok yang membantutkan pembangunan.
Selama ini kita sering dengar slogan, “Tuntut 40% hak Sabah!” tetapi apa maknanya tuntutan itu jika pihak yang mengurus, menyelia dan mengendalikan dana berbilion ringgit itu adalah kumpulan yang berlegar dalam lingkaran ‘Kartel Rasuah’?
Hak Sabah tidak akan bermakna jika jatuh ke tangan yang salah. Autonomi tidak ada makna jika digenggam oleh kroni.
Rakyat Sabah kini berada di persimpangan samada kekalkan politik lama yang penuh skandal atau memilih barisan baharu yang lebih profesional, bersih dan mewakili suara rakyat?
Keberanian rakyat menentukan masa depan Sabah, itu yang akan membezakan siapa yang layak mentadbir dan siapa yang hanya layak ditukar.


Comments
Post a Comment