Esok adalah hari penamaan calon PRN Sabah Ke-17, satu dakwaan mengejutkan mula menggoncang lanskap politik negeri itu.
Menurut maklumat yang diterima, beberapa calon Barisan Nasional (BN) mendakwa mereka dihubungi pihak tertentu yang menawarkan ganjaran sehingga RM2 juta bagi memujuk mereka menarik diri pada saat akhir.
Sumber dalaman memaklumkan bahawa gerakan itu kononnya melibatkan pihak berkait dengan parti yang kini memerintah Sabah dipercayai sedang mencari jalan pintas untuk memastikan kemenangan lebih mudah di beberapa kerusi panas.
Menurut sumber, strategi tersebut dikatakan mensasarkan calon-calon BN dan Warisan yang dilihat berkemampuan memberi ancaman sebenar kepada kubu GRS.
Seramai 16 calon BN yang telah diumumkan dilaporkan “terkejut” apabila menerima panggilan serta mesej tawaran puluhan hingga jutaan ringgit.
Tawaran itu bukan sekadar habuan kewangan, malah ada juga janji bahawa mereka bakal dilantik sebagai ADUN lantikan sekiranya bersetuju berundur dan menyokong pihak tertentu melalui akuan bersumpah (SD).
Difahamkan, “operasi memancing calon” ini dilakukan dengan cermat, menyasarkan individu yang memiliki peluang cerah dan boleh memecahkan dominasi gabungan pemerintah di kawasan-kawasan tertentu.
Maklumat yang berlegar dalam kalangan jentera parti menyebut bahawa terdapat usaha untuk mendapatkan SD sokongan awal daripada mana-mana calon BN atau Warisan yang sanggup “berpindah kem”.
Nilai tawaran yang disebut adalah RM2 juta menunjukkan betapa pentingnya kerusi-kerusi tertentu dan betapa sengitnya pertembungan yang bakal berlaku.
Jika benar, langkah ini menggambarkan betapa gentingnya kekuatan GRS di beberapa kerusi strategik, sehingga terpaksa mengamalkan politik tawar-menawar sebelum hari penamaan calon lagi.
Setakat ini, kepimpinan Barisan Nasional tidak memberikan sebarang kenyataan rasmi mengenai dakwaan ini, sekaligus menimbulkan lebih banyak tanda tanya.
Sikap berdiam diri itu turut menguatkan desas-desus bahawa isu ini mungkin sedang ditangani secara dalaman untuk mengelakkan gelora politik menjelang hari penting Sabtu ini.
PRN Sabah Ke-17 nampaknya bakal menyaksikan pertempuran paling dramatik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Politik wang, usaha memancing calon dan rundingan belakang tabir semua ini memperlihatkan bagaimana gabungan yang memerintah dan parti lawan sedang berebut setiap inci pengaruh menjelang penentuan rasmi calon.
Jika dakwaan ini berasas, ia bukan sahaja mencemar integriti pilihan raya, tetapi turut mengesahkan apa yang sering disebut oleh rakyat Sabah dan pertarungan sebenar di negeri ini bukan sekadar soal manifesto tetapi soal kuasa, pengaruh dan siapa mampu membeli siapa.
PRN kali ini jelas bukan sekadar pilihan raya tetapi ia pertarungan survival politik.

Comments
Post a Comment