PRN Sabah Ke-17: BN Sedia Beri Tentangan Padu di Kundasang

Japirin Sahadi

Pertarungan di DUN Kundasang kali ini dijangka menjadi antara yang paling diperhatikan dalam PRN Sabah Ke-17.


Di atas kertas, penyatuan undi BN dan PKR pada pilihan raya lepas seolah-olah memberi gambaran bahawa calon BN mempunyai peluang cerah.


Namun realitinya, kemenangan tidak boleh ditentukan hanya melalui angka yang dijumlahkan di atas kertas kerana ada banyak faktor semasa yang sedang berlegar dan mempengaruhi sentimen pengundi.


BN mempertaruhkan Japirin Sahadi, anak jati Kampung Kundasang, Ranau.


Walaupun beliau merupakan muka baharu dalam gelanggang pilihan raya, Japirin bukan calon tanpa rekod. Sejak 2004, beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada tiga Menteri Sabah, memberi beliau pengalaman pentadbiran, rangkaian politik dan kefahaman mendalam tentang keperluan masyarakat tempatan.


Faktor akar umbi ini meletakkan Japirin dalam kedudukan yang kuat untuk menawan hati pengundi terutama di kawasan yang amat menilai calon berdasarkan hubungan dan jasa terhadap komuniti.


Penyandang kerusi, Datuk Seri Joachim Gunsalam (PBS), kini memasuki PRN ke-17 dengan beban isu yang semakin berat.


Nama beliau baru-baru ini dikaitkan dengan skandal rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral Sabah seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita. Walaupun Joachim menafikan pembabitannya, persepsi negatif tersebut terus menghantui kempen beliau. Malah pendedahan rakaman video oleh ahli perniagaan, Albert Tei tidak disangkal oleh Joachim sendiri.


Selain itu, beliau turut dikritik kerana gagal membawa pembangunan baharu ke Kundasang serta tidak menyelesaikan isu asas yang semakin meruncing termasuk masalah air dan kerosakan jalan raya. Dua isu ini menjadi rungutan utama penduduk, lebih-lebih lagi kerana Kundasang merupakan kawasan pelancongan utama negeri.

 

Penamaan calon di Dewan Masyarakat Ranau pada hari ini dijangka meriah dengan penyertaan lebih daripada satu penjuru, sama seperti PRN 2020 yang menyaksikan pertembungan lima penjuru. Saingan pelbagai parti ini dijangka menjadikan landskap pengundian lebih dinamik dan membuka ruang kepada mana-mana calon yang mampu menawarkan keyakinan baharu kepada rakyat.


Kepentingan DUN Kundasang tidak boleh dipandang ringan. Kawasan ini bukan sahaja menjadi nadi pelancongan negeri dengan kedudukan strategik di kaki Gunung Kinabalu tetapi juga merupakan pintu masuk utama bagi perkembangan ekonomi kecil dan sederhana. Sekiranya kepimpinan baharu mampu menyelesaikan isu asas dan memajukan pelancongan, impaknya bukan sahaja dirasai di Kundasang tetapi pada imej Sabah secara keseluruhan.


Japirin Sahadi membawa kelebihan sebagai calon tempatan berpengalaman yang memahami denyut nadi komuniti, sementara penyandangnya berdepan persepsi negatif akibat isu-isu yang timbul, dengan saingan pelbagai penjuru dan sentimen rakyat yang semakin kritikal, PRN kali ini bakal menentukan sama ada Kundasang kekal di tangan lama atau bersedia menerima perubahan yang lebih meyakinkan.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.