Harapan BN pada Arthur di Sook

Datuk Sri Arthur Joseph Kurup

Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Begitulah yang dapat kita lihat dalam keluarga  Tan Sri Datuk Panglima  Joseph Kurup apabila anaknya,  Datuk Sri Arthur Joseph Kurup masuk penuh bergaya ke gelanggang pertarungan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N45 Sook pada Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Joseph Kurup yang meninggal dunia pada April tahun lalu merupakan tokoh politik yang disegani rakyat Sabah dan pernah memegang beberapa jawatan menteri dan timbalan menteri di peringkat persekutuan dan negeri.

Kini anaknya, Arthur mewarisi keunggulan dan legasi keluarga apabila diberi kepercayaan  menyandang jawatan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), selain jawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Mempertaruhkan keupayaan sendiri yang terbukti diterima rakyat Negeri Di Bawah Bayu, Arthur, 43, mampu merampas kerusi N45 Sook daripada penyandang kerusi tersebut, Datuk Ellron Angin, 66, yang merupakan mantan Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku ( STAR).

Pada PRN Sabah Ke-17, Ellron akan bertanding sebagai calon parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Apa yang menjadi harapan Barisan Nasional (BN) yang mana PBRS  adalah parti komponen utama dalam BN yang bertanding 45 kerusi daripada 73 kerusi DUN  pada PRN Sabah Ke-17 adalah Arthur menang majoriti besar.

Komponen lain dalam BN adalah UMNO dan MCA.

Meskipun Arthur berdepan dengan jaguh politik yang masih berbisa, namun hal itu tidak menggugat peluang ahli Parlimen Pensiangan untuk merampas kerusi DUN N45 Sook daripada Ellron.

Apatah lagi, Ellron baru-baru ini dikaitkan dengan skandal rasuah perlombongan di Sabah.

Menurut laporan sebuah portal berita bertarikh 28 Jun lalu, Ellron yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah  menerima suapan dalam transaksi bernilai RM530,000.

Menafikan terlibat dalam skandal tersebut, tidak mampu memadam tanggapan rakyat terhadap salah laku beliau itu.

Nampaknya Arthur mempunyai peluang cerah untuk menang, sekali gus mengukuhkan lagi legasi keluarga Joseph Kurup dalam pentas politik Sabah.

Slogan Demi Rakyat Demi Sabah dan Radu Tatap Radu bakal menjuarai laungan rakyat esok di perkarangan Gelanggang Futsal Majlis Daerah Nabawan Sempena Hari Penamaan Calon PRN DUN Sabah ke- 17 pukul 7 pagi ini.

Dari Rohana Man

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.