Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN), Japirin Sahadi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N36 Kundasang, menandakan kesepaduan strategik kedua-dua gabungan utama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Ahli Jawatankuasa Penyelaras PKR-Pakatan Harapan (PH) DUN Kundasang, Cikgu Juhumat berkata keputusan itu dibuat selepas penilaian menyeluruh terhadap calon berdasarkan kepimpinan, pengalaman serta keupayaan beliau membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada masyarakat setempat.
“Di Timbua ini ada gabungan dua komponen terbesar iaitu Pakatan Harapan dengan Barisan Nasional, kami telah menggabungkan tenaga untuk memberikan sokongan penuh kepada calon pilihan kami Japirin Sahadi.
“Penilaian kami jelas menetapkan bahawa calon BN adalah pilihan terbaik, PKR akan memberikan sokongan penuh bagi memastikan kemenangan beliau,” katanya ketika berucap dalam satu perjumpaan di Timbua, baru-baru ini.
Beliau menegaskan, sokongan PKR bukan sahaja berlandaskan pertimbangan politik semata-mata tetapi turut mengambil kira kredibiliti calon dalam berkhidmat untuk rakyat serta pembangunan kawasan.
Tambahnya, langkah itu secara lantang menunjukkan kesepaduan antara PKR dan BN dalam menghadapi PRN Sabah dengan tujuan memperkukuh strategi serta memastikan mandat diperoleh secara sah dan meyakinkan.
“Kita menilai calon berdasarkan keupayaan memimpin dan membawa pembangunan kepada kawasan ini dan keputusan kami jelas menyokong Japirin sepenuhnya.
“InsyaAllah ahli-ahli PKR akan memberikan sokongan padu pada hari pilihan raya nanti dan keputusan ini mencerminkan perpaduan serta strategi politik yang mantap,” ujarnya.
Dalam masa sama, Cikgu Juhumat turut menyeru generasi muda agar mengambil peranan aktif dalam proses demokrasi dengan menyokong calon pilihan parti bagi memastikan kelangsungan pembangunan dan kepimpinan masa depan.
“Generasi muda digalakkan untuk bersama-sama memastikan kemenangan Japirin kerana mereka adalah harapan kepada pembangunan dan kepimpinan di masa hadapan,” jelasnya.

Comments
Post a Comment