
Enitah
SOOK: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pensiangan menyeru ahlinya agar memberi undi kepada calon Barisan Nasional (BN), Dato' Sri Arthur Joseph Kurup di Dewan Undangan Negeri (DUN) N45 Sook pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah, Sabtu ini.
Lima tahun lalu, calon PKR, Raymond Ahuar menerima undi kedua tertinggi di DUN Sook pada PRN16 dengan meraih 2,322 undi, berada di belakang Ellron Angin dari Perikatan Nasional (3,554 undi). Calon BN, Bonepes Been meraih 1,535 undi.
Begitupun pada PRN kali ini, parti itu tidak meletakkan calon di Sook, sebaliknya Ketua Cabang PKR Pensiangan, Rufinah Pengeran akan bertanding di DUN N44 Tulid.
Sedar tentang kekeliruan yang timbul dalam kalangan ahli PKR yang mengundi di DUN Sook sama ada mahu mengundi calon BN atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Pensiangan, Enitah Inarau tampil menjelaskan, mereka sentiasa berada di belakang BN.
"Saya merayu kepada semua pengundi di DUN Sook, khasnya ahli PKR seperti kami supaya mengundi Dato' Sri Arthur pada PRN kali ini. Marilah kita sama-sama menyokong dan mengundi, ingat No. 4.
"Pakatan Harapan (PH) solid kepada Dato' Sri Arthur seperti yang diumumkan Perdana Menteri (Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim) ketika hadir di Kampung Minawo baru-baru ini. Kami juga menyeru penyokong BN yang mengundi di Tulid agar membantu calon PH," katanya ketika ditemui.
Menurut Enitah, biarpun berbeza fahaman politik, namun beliau mengakui, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur seorang calon yang berwibawa dan layak diundi pada PRN17.
"Sepanjang dia berada di Parlimen Pensiangan, nampak apa yang Dato' Sri telah lakukan. Tidak mustahil DUN Sook juga akan membangun seperti di Parlimen," katanya.
Comments
Post a Comment