Pilih Parti Bukan Pilih Calon Untuk Tentukan Masa Depan Sabah


Bahagian I

Peluang politik di Sabah sering berubah-ubah, namun satu perkara tetap jelas adalah pilihan raya bukan sekadar soal memilih individu tetapi menentukan siapa yang mampu membentuk kerajaan yang stabil dan berkesan. Dalam konteks ini, kenyataan terbaru Calon PAS – PN untuk DUN Karambunai, Aliakbar Gulasan, membuka satu lagi lembaran perbincangan tentang hala tuju politik negeri.

Dalam temu bual bersama FMT, Aliakbar menyatakan bahawa salah faham terhadap PAS di Sabah berlaku kerana rakyat terlalu menumpukan kepada parti, bukan ketokohan individu.

Beliau menambah bahawa kini rakyat Sabah lebih menilai latar belakang profesional calon yang ditawarkan. Menurutnya, perubahan persepsi inilah yang membuka ruang lebih positif kepada PAS untuk menempatkan diri dalam landskap politik negeri, meskipun diakui usaha meraih kerusi pertama masih sukar.

Namun, kenyataan bahawa “pengundi kini lebih menilai tokoh bekerja, bukan semata-mata parti” menimbulkan persoalan lebih besar, adakah ini gambaran sebenar realiti politik Sabah, atau sekadar naratif untuk menaikkan imej peribadi?

Dalam sebuah gabungan besar seperti PN, kenyataan ini seolah-olah mengetepikan rakan-rakan calon yang lain. Ia memberi bayangan bahawa penekanan terhadap “kehebatan akademik” termasuk status PhD beliau dijadikan sandaran utama untuk meraih undi seolah-olah pengundi perlu melihat beliau sebagai calon paling layak berbanding rakan sekutunya sendiri.

Hakikatnya, dalam sistem politik Malaysia, khususnya di Sabah, memilih calon semata-mata tanpa menilai parti adalah satu perjudian besar terhadap masa depan negeri. Sebuah kerajaan tidak terbina atas kredibiliti seorang, tetapi dibentuk oleh kekuatan dan dasar sesebuah parti serta keupayaannya mentadbir.

Jika pengundi menilai calon secara terasing daripada parti, mereka berdepan risiko memilih individu yang akhirnya berada dalam blok politik yang tidak berkuasa, sekaligus menghadkan peluang membawa pembangunan ke kawasan sendiri. Kehebatan akademik mungkin satu nilai tambah tetapi ia bukan jaminan keupayaan mentadbir, berkhidmat, atau mengekalkan kestabilan politik.

Realitinya, parti menentukan arah negeri, bukan ijazah calon.

Kenyataan Aliakbar juga membuka persoalan tentang kesetiaan dan keseragaman dalam gabungan PN sendiri. Jika calon PAS menekankan diri sebagai pilihan lebih baik berbanding rakan parti lain atas dasar ilmu dan kelayakan peribadi, apakah itu gambaran sebuah pasukan politik yang benar-benar bersatu?

Pada hakikatnya, masa depan Sabah memerlukan lebih daripada sekadar wajah-wajah berkelulusan tinggi. Ia memerlukan parti yang stabil, dasar yang jelas dan barisan kepimpinan yang benar-benar mampu membentuk kerajaan.

Bahagian II akan menghuraikan mengapa undi berdasarkan individu semata-mata boleh menjerumuskan negeri ke dalam kitaran politik tidak stabil, dan bagaimana prinsip “undi parti” menjadi kunci kepada masa depan Sabah yang lebih terjamin.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.