KENINGAU - Pakatan Harapan (PH) sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N45 Sook memberi sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN), Dato' Sri Arthur Joseph Kurup yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Ketua Wanita PKR Cabang Pensiangan, Florina William Lapindik berkata, sebahagian besar ahli PH yang juga akan mengundi di DUN Sook pada 29 November ini yakin dengan kewibawaan Arthur membawa pembangunan dan kemajuan di daerah itu sebelum ini.
"Sokongan kepada beliau akan berterusan sebab kami yakin dengan dia. Saya sendiri tahu bagaimana sokongan ahli-ahli di sini terhadap beliau terutama di Bonor, Dalit, Malaing..semua menyokong kepimpinan YB Arthur setakat ini," katanya.
Florina berkata demikian ketika di temui pada Program Santai Urang Sini bersama calon DUN N45 Sook, Arthur di sini semalam.
Beliau berkata, banyak pembangunan yang telah diusahakan Arthur di Sook dapat dilihat dengan jelas selain berupaya mengotakan janji-janjinya kepada rakyat di kawasan itu.
"Bagaimana kami mahu pilih kepimpinan yang lain apabila beliau sudah membawa begitu banyak pembangunan ke daerah kami. BN dan PH adalah gabungan di kerajaan pusat jadi kami juga mahu negeri membina kerajaan perpaduan yang stabil," katanya.
Katanya, BN juga memberikan sokongan kuat terhadap calon DUN N44 Tulid yang mempertaruhkan Ketua Cabang PKR Pensiangan, Datin Rufinah Pengeran pada PRN ini.
Maka itu PH juga turut memberikan sokongan padu kepada Arthur bagi memastikan Sook menjadi milik BN pada PRN kali ini.

Comments
Post a Comment