Perjalanan ke Kampung Timbua mencabar

Laluan tidak diturap menyukarkan perjalanan penduduk Kampung Timbua berulang alik untuk masuk dan keluar.


Lebuh raya merupakan satu kemudahan asas yang amat penting kepada kehidupan kita. Tanpa kemudahan itu, memang sukar untuk berhubung dari satu ke satu tempat yang lain.

Penulis seorang anak jati Kuala Lumpur yang membesar dengan kemudahan asas itu yang disediakan dengan serba lengkap sejak kecil lagi oleh pemerintah.

Peluang bertugas di Sabah bagi membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN), merupakan satu pengalaman yang tidak mungkin penulis dapat lupakan seumur hidup.

Kundasang merupakan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi lokasi penulis dihantar bertugas.

Laluan tidak diturap menyukarkan perjalanan penduduk Kampung Timbua berulang alik untuk masuk dan keluar.

Persepsi awal penulis terhadap pusat pelancongan itu ialah pemandangan yang indah dengan berlatar belakangkan Gunung Kinabalu.

Tetapi, sayang sekali keindahan tersebut sedikit terjejas dengan keadaan jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik dan berlubang-lubang.

Hari ini (20 November), penulis meluangkan masa meninjau ke kawasan yang lebih pedalaman iaitu di Kampung Timbua yang jaraknya kira-kira 49.4 kilometer (km) dari pekan Kundasang.


Berdasarkan google maps, perjalanan ke sana dijangka memakan masa selama 1 jam 9 minit, namun, malangnya informasi itu kurang tepat apabila perjalanan penulis bersama dua lagi rakan setugas mengambil masa selama lebih dua jam.

Dengan jarak yang tidak sampai 50km, tempoh dua jam perjalanan yang diambil ke Kampung Timbua, lebih kurang tempoh pemanduan penulis dari Kuala Lumpur ke Melaka atau lebih jauh lagi mungkin sehingga ke Muar atau Segamat, Johor.

Tetapi, jarak dari Kuala Lumpur ke Melaka melibatkan lebih 130km, namun, perjalanan ke Kampung Timbua hampir menyamai dari ibu negara ke Nilai, Negeri Sembilan (47.4km) yang hanya memakan masa 44 minit.


Keadaan itu terjadi kerana sebaik hampir tiba ke Kampung Timbua, penulis dan rakan-rakan terpaksa menempuh perjalanan berliku dengan laluan yang tidak berturap sejauh 6km.

Sebelum berjumpa laluan berkerikil, jalan yang berturap pula tidak diselenggara dengan baik, walaupun bukan semua laluan ke sana tidak elok kerana ada sesetengah jalan yang dibina cantik, tetapi, kemudahan itu tidak konsisten.

Justeru, amat penting PRN kali ini, warga DUN Kundasang membuat pilihan yang tepat, agar calon yang dipilih kelak mampu menghadirkan perubahan, walaupun, cabaran untuk berbuat demikian bukanlah mudah.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.