Pemilikan Tanah Bukti Kekuatan Ekonomi Orang Asal Sabah – Mohd Hasnol

Japirin Sahadi (tiga dari kiri) bersama Datuk Mohd Hasnol Ayub (dua dari kiri) sewaktu mengadakan pertemuan dengan penduduk di Kampung Naradau, Kundasang, Sabah, semalam.


Pemilikan tanah yang kukuh dalam kalangan masyarakat asal Sabah (Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus - KDMR) perlu diangkat sebagai asas kekuatan ekonomi rakyat negeri ini, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Sabah, Datuk Mohd Hasnol Ayub.

Beliau menegaskan wacana kemiskinan KDMR sering disalah erti kerana pengukuran hanya dibuat berdasarkan pendapatan tunai, sedangkan komuniti itu memiliki aset lebih besar termasuk tanah, tanaman dan ternakan.

Berucap dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pinousuk, beliau berkata Sabah telah memberi ruang kepada masyarakat asal untuk mendaftar tanah sebagai native title sejak 1930.

"Ia satu kelebihan yang tidak dinikmati di Sarawak mahupun Semenanjung Malaysia yang hanya mempunyai sistem Native Customary Rights (NCR) tanpa pemilikan individu.

"Perbandingan kekayaan antara negeri yang sering dimomokkan tidak tepat kerana rakyat Sabah termasuk di Kundasang mewarisi tanah yang diiktiraf kerajaan, malah ada yang memiliki puluhan hingga ratusan ekar yang sedang menunggu geran," katanya di Kampung Naradau, di sini malam tadi.

Beliau menegaskan tanah yang dijual generasi terdahulu untuk pendidikan atau kelangsungan hidup tidak wajar dijadikan alasan menggambarkan komuniti KDMR sebagai miskin, kerana penjualan aset itu sendiri membuktikan wujudnya harta asal yang dimiliki keluarga sejak turun-temurun.

Jelasnya lagi, naratif beberapa parti politik bahawa masyarakat KDMR lebih miskin daripada Sarawak tidak realistik kerana negeri itu masih belum membenarkan pemilikan tanah individu, manakala Sabah jauh lebih ke hadapan dari segi sejarah pengiktirafan tanah dan pengagihan hak adat.

"Rekod sejarah menunjukkan masyarakat kampung termasuk Ketua Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) suatu ketika dahulu turut menerima manfaat daripada aktiviti ekonomi seperti pembalakan.

"Itu adalah bukti bahawa peluang pembangunan telah sampai ke peringkat akar umbi, tidak hanya dimonopoli syarikat-syarikat besar seperti di negeri lain," ujarnya.

Mengulas kecenderungan sesetengah pihak menggunakan angka kemiskinan secara literal, beliau berkata data tersebut sering mengelirukan kerana tidak mengambil kira nilai aset, kekuatan budaya ekonomi desa dan realiti setempat di kawasan tanah tinggi seperti Kundasang.

Jelasnya, tanah bukan sekadar aset ekonomi tetapi sebahagian daripada identiti budaya KDMR yang mesti dipertahankan sebagai lambang martabat masyarakat serta saluran kestabilan sosial melalui sistem adat seperti Mahkamah Anak Negeri.

Beliau menegaskan bahawa budaya KDMR mengutamakan penyelesaian tanpa membabitkan pertelingkahan, sekali gus menjadikan tanah sebagai sumber keharmonian dan platform penting dalam menjaga hubungan antara komuniti berbilang agama dan adat di Sabah.

Mengimbas sejarah keluarganya yang turut terlibat dalam perjuangan masyarakat Dusun melalui United Sabah Dusun Association (USDA), beliau berkata pengiktirafan tanah dan pembangunan kampung sejak era terdahulu adalah hasil kesinambungan dasar yang dibawa kerajaan sebelum 2018, yang tergendala apabila Barisan Nasional (BN) tumbang pada tahun berkenaan.

Katanya, 90 hingga 95 peratus pembangunan yang dinikmati rakyat hari ini adalah hasil pentadbiran BN, dan sekiranya kerajaan ketika itu tidak berubah, isu tertunggak termasuk geran tanah dan jalan kampung sudah dapat diselesaikan sepenuhnya.

"Kestabilan politik diperlukan untuk memastikan isu tanah tidak terus tertangguh, terutama di kawasan pedalaman seperti Naradau yang memerlukan kepimpinan jelas dalam menyambung pembangunan yang terhenti sejak enam tahun lalu.

"Tawaran Barisan Nasional melalui calon N.36 Kundasang, Japirin Sahadi memberi keutamaan kepada penyelesaian isu-isu berkaitan tanah, kerana masalah tersebut menjadi nadi utama ekonomi keluarga desa dan penentu masa depan generasi muda," jelasnya.

Beliau menutup ucapannya dengan menyeru penduduk tidak terperangkap dalam naratif yang memperkecilkan kedudukan masyarakat KDMR, kerana tanah yang diwarisi adalah bukti jelas kekuatan ekonomi dan budaya yang meletakkan Sabah lebih jauh ke hadapan berbanding negeri lain.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.