Pedalaman Sook luas, subur sesuai jadi hab pertanian Sabah




FAIZAH IZZANI ZAKARIA

KENINGAU - Kawasan pedalaman di Daerah Sook mempunyai peluang tinggi dimajukan sebagai hab pertanian di Sabah berskala besar memandangkan ia mempunyai keluasan yang lebih dari mencukupi, tanah subur serta iklim yang sesuai.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato' Sri Arthur Joseph Kurup berkata, peluang itu sekaligus bakal merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi daerah itu.


"Kita di kawasan pedalaman Sabah bukan sahaja di Sook mempunyai potensi yang sangat besar kerana tanah yang luas, subur dan iklim yang sesuai untuk kita meningkatkan lagi aktiviti pertanian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Libat Urus Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Daerah Sook di Kampung Johan Jaya, di sini hari ini.

Program itu dirasmikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang turut meninjau perkembangan semasa projek menanam padi bukit dan huma di sekitar Sook.

Arthur yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N45 Sook pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 berkata, hasil pengeluaran pertanian dari kawasan pedalaman seperti di daerah itu tidak mustahil mampu menampung keperluan makanan di seluruh negara.

Sebagai pemimpin yang berada di dalam kerajaan Persekutuan, Arthur berkata, beliau mahu melihat sektor pertanian menjadi antara pemangkin ekonomi utama bukan sahaja di daerah itu malah di seluruh Sabah.

Katanya, kesemua projek pertanian yang dirancang telah berjalan dan ada yang sudah terlaksana.

"Saya jamin program atau semua usaha yang dirancang ini akan berterusan demi meningkatkan pertumbuhan ekonomi di kawasan ini," katanya.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.