Persoalan paling mencurigakan kini timbul, mengapa nama Jho Low dikeluarkan daripada senarai ‘red notice’ Interpol?
Adakah wujud tangan ghaib yang mengarahkan penarikan notis tersebut?
Siapa yang cuba melindungi Jho Low, watak utama dalam skandal 1MDB yang masih bebas hingga kini?
Isu ini kembali mencuri tumpuan apabila peguam bela Dato’ Seri Najib Razak, Tan Sri Shafee Abdullah, dalam hujah akhir pembelaan hari ini, membangkitkan persoalan serius mengenai kehilangan nama Jho Low dari senarai buruan antarabangsa itu.
Menurut Datuk Hasnal Rezua Merican, dalam prosiding terakhir pembelaan kes 1MDB, Tan Sri Shafee tampil dengan hujah penutup yang menyentuh tiga perkara utama isu undang-undang, keterangan, dan fakta sokongan.
1. Isu “Double Hearsay”
Shafee menegaskan bahawa banyak keterangan dalam kes ini hanyalah “hearsay berganda”, atau maklumat dengar cakap dua lapis yang tidak boleh diterima di mahkamah.
Sebagai contoh, saksi Shahrol Azral mendakwa mendengar arahan daripada Jho Low yang kononnya mendapat arahan pula daripada Najib Razak.
Menurut Shafee, ini bukan bukti, tetapi cerita berantai tanpa asas sahih. Beliau turut membawa dua kes rujukan dari Selatan Australia yang memperkukuh prinsip bahawa “double hearsay” tidak boleh diterima sebagai bukti sah.
2. Penggunaan Andaian Bawah Seksyen 23 SPRM
Shafee turut membidas cara pihak pendakwaan menggunakan andaian di bawah Seksyen 23(2) Akta SPRM yang kononnya membolehkan mahkamah menganggap Najib menyalahgunakan kuasa apabila fakta asas tertentu dibuktikan.
Namun, katanya, “andaian tidak boleh berdiri tanpa asas yang kukuh”, setiap fakta asas mesti dibuktikan terlebih dahulu, bukan sekadar diasumsikan.
3. Fakta Kunjungan Raja Salman dan Misteri Jho Low
Menariknya, Shafee juga membangkitkan kunjungan Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud ke Malaysia ketika isu derma Arab masih panas.
Beliau mempersoalkan, jika benar dakwaan derma itu palsu, mengapa Raja Salman masih mesra dan tidak menunjukkan sebarang tanda kecewa terhadap Najib?
Lebih mengejutkan, Shafee menegur pihak pendakwaan yang masih gagal membawa Jho Low ke muka pengadilan.
“Jika Adlan Berhan boleh dikesan dan gambarnya tersiar di media, mengapa Jho Low yang wajahnya dikenali seluruh dunia masih ‘ghaib’?” soal beliau.
Lebih membingungkan apabila kini muncul dakwaan bahawa nama Jho Low telah dikeluarkan daripada ‘red notice’ Interpol.
Kes 1MDB kini berada di ambang penamat, dengan keputusan dijadual diumumkan pada 26 Disember 2025.
Namun, sebelum keadilan diputuskan, rakyat berhak bertanya,
siapa yang melindungi Jho Low dan mengapa sistem antarabangsa tiba-tiba ‘memaafkan’ namanya?

Comments
Post a Comment