Naik taraf kemudahan asas jadi perjuangan PBRS

Datuk Dr. Ewon Ebin

Memperbaiki kemudahan asas khususnya jalan raya menjadi misi utama Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) di Kundasang yang masih berada dalam keadaan kurang memuaskan.

Ketua Bahagian PBRS DUN Paginatan (N38), Datuk Dr. Ewon Ebin berkata, masih banyak keperluan rakyat misalnya jalan pertanian yang perlu dilaksananakan, selain, kampung-kampung yang belum mendapat kemudahan asas.



Kemudahan asas seperti jalan raya di Kundasang perlu diperbaiki segera untuk kemudahan penduduk tempatan.

“Itu perkara utama yang kita mahu lakukan jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat sekali lagi kerana memang jalan raya keutamaan kita.

“Saya yakin jika calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang, Japirin Sahadi diberi peluang, beliau mampu melaksanakan tugas kerana pengalamannya sebelum ini sebagai Setiausaha Politik saya,” katanya ketika ditemui di pejabat PBRS dekat pekan Ranau, hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Ranau itu berkata, sewaktu BN memerintah, perancangan untuk membangunkan Kundasang telahpun diatur, tetapi, usaha tersebut terbantut dan tidak dapat diteruskan.

Katanya lagi, beliau tahu Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dari parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang merupakan penyandang DUN Kundasang telah menjalankan kerjanya.

“Bukan bererti calon sekarang tidak bagus, tetapi, ‘trend’ sekarang adalah mengetengahkan anak jati yang mempunyai hubungan lebih dekat dengan penduduk Kundasang,” ujarnya.

Mengulas pula mengenai potensi Kundasang untuk berkembang sebagai pusat pelancongan tanah tinggi, Dr. Ewon menjelaskan, daerah itu mempunyai tarikan istimewa iaitu Gunung Kinabalu dan cuaca yang sejuk.

Tambahnya, jika Kundasang dibangunkan secara terancang, beliau yakin daerah itu mampu menjadi pusat pelancongan terbaik di negara ini.

“Saya harap Kundasang ini mampu setara ataupun lebih bagus berbanding pusat peranginan sedia ada di Malaysia.

“Gerai-gerai sayur di Kundasang merupakan tarikan kepada pelancong yang mana ia mampu memberi pulangan yang baik kepada penduduk tempatan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut berharap jalan raya menuju ke Kundasang mempunyai lampu di pinggir jalan dan bekalan elektrik yang lebih stabil tanpa perlu berdepan isu ketiadaan sumber perkhidmatan tersebut pada satu-satu masa.

Bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu turut berharap pembinaan bangunan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan Kundasang bagi menggantikan bangunan lama yang runtuh dapat dipercepatkan agar pembelajaran para pelajar tidak terganggu.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.