Meskipun pertama kali turun ke gelanggang politik sebagai calon pilihan raya, Japirin Suhaidi dari Barisan Nasional (BN) tampil ‘steady’ dan yakin ketika berdepan sembilan pencabar bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N36 Kundasang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang bermula hari ini.
Japirin yang lebih dikenali sebagai Geek keluar dari Dewan Masyarakat Ranau, pusat penamaan calon PRN Sabah Ke-17 pada jam 12.20 tengah hari dengan senyuman sambil mengangkat tangan ke arah para penyokong yang setia menanti sejak jam 7 pagi.
Kelibatnya disambut sorakan penyokong yang menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan beliau membawa perubahan serta membuka lembaran baharu buat daerah Kundasang selepas ia berada di bawah wakil rakyat yang sama selama 17 tahun, termasuk melalui episod lompat parti.
Dalam pertandingan 10 penjuru itu, Japirin bakal berdepan sembilan lagi calon iaitu:
* Datuk Japiril Suhaimi (Parti Maju Sabah – SAPP)
* Edward Jamkin @ Paul Arif (Parti Impian Sabah – PIS)
* Dr Atong Antong (Perikatan Nasional – PN)
* Jeffrey Gopigog (Parti Warisan – Warisan)
* Nazarul Khaiwala Wahab (Parti Kerjasama Anak Negeri – Anak Negeri)
* Rogers Tiam @ Aloysius (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu – UPKO)
* Jattry Abie @ Jeffry Mohd Ali (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat – KDM)
* Jackson Musi (Bebas)
* Datuk Dr Joachim Gunsalam (Gabungan Rakyat Sabah – GRS)
Dengan pengalaman akar umbi serta sokongan pengundi setia di kawasan itu, Japirin melangkah masuk ke gelanggang PRN kali ini dengan penuh keyakinan dan tekad untuk membawa suara baharu ke Kundasang.

Comments
Post a Comment