Melihat kepada liputan media tempatan terutama platform media sosial, isu jalan merupakan topik hangat dan menjadi isu penilaian rakyat seperti isu bekalan air bersih dan letrik.
Rakyat Sabah sudah lama bersabar setiap kali hujan, jalan raya berubah jadi kolam lumpur dan setiap kali cuaca panas, pengguna jalanraya akan makan debu tanah.
Kebanyakan jalinan jalanraya yang menjadi nadi utama negeri yang sepatutnya Makmur kini jadi simbol kegagalan pentadbiran GRS yang penuh alasan.
GRS boleh menuding jari ke sana sini kononnya masalah ini diwarisi daripada kerajaan lalu tetapi rakyat bukan lagi mudah ditipu dengan skrip basi.
Soalnya berapa lama lagi kerajaan GRS mahu bersandiwara dengan alasan “ini masalah kerajaan lama”?
Kalau benar GRS cekap sudah tentu selepas beberapa tahun memegang tampuk kuasa sekurang-kurangnya separuh jalan utama Sabah sudah berubah wajah.
Rakyat Sabah perlu ingat bahawa segala peruntukan kerajaan persekutuan disalurkan ke negeri melalui agensi negeri iaitu JKR Sabah dan agensi ini di bawah kerajaan negeri yang diterajui GRS. Maka kalau jalan Sabah masih seperti “zaman kerajaan dahulu”, itu bukti nyata bahawa GRS gagal mengurus amanah rakyat. Apa lagi alasan Menteri JKR Sabah, IR. Shahelmey Yahya?
Sebaliknya, rakyat Sabah masih ingat zaman Barisan Nasional (BN) dahulu. Jalan siap ikut fasa, projek diselia rapi dan tidak ada budaya menunding jari. BN memerintah bukan sekadar berjanji tetapi melaksanakan janji. Dari Pan Borneo hingga jalan pedalaman, hasilnya nyata walaupun tidak sempurna dan sekurang-kurangnya rakyat nampak perubahan, bukan sekadar papan tanda projek.
BN terbukti mampu kerana mereka ada pengalaman dan kestabilan politik untuk menuntut hak Sabah secara berkesan di peringkat Persekutuan. Tidak seperti GRS yang hanya pandai bergantung pada ehsan politik Putrajaya tetapi gagal menekan untuk kepentingan rakyat sendiri.
Kini, menjelang PRN Sabah ke-17, rakyat ada pilihan samada ingin terus derita dengan jalan berlubang dan janji kosong atau kembalikan pentadbiran kepada tangan yang tahu bekerja.
BN bukan hanya jenama lama tetapi ia simbol kepakaran dan kestabilan yang Sabah perlukan semula.


Comments
Post a Comment