Naratif yang cuba dijual oleh Anifah Aman bahawa beliau mampu “membawa masuk pelabur asing” jika menang pilihan raya semakin menunjukkan ketandusan idea serta kegagalan rekod selama ini. Kenyataan itu bukan sahaja tidak logik malah menyingkap kelemahan paling nyata dalam gaya kepimpinan beliau, hanya bergerak bila ada kuasa politik di tangan.
GRS memerintah Sabah sepenggal penuh. Sepanjang tempoh itu, rakyat tidak pernah mendengar sebarang pelaburan signifikan yang berjaya dibawa oleh Anifah Aman. Bukan RM1 juta, bukan RM1 bilion malah kalau sekadar “RM1 pelaburan langsung” pun tiada.
Bagaimana seorang tokoh yang mendakwa dirinya mempunyai jaringan antarabangsa yang “luar biasa hebat” gagal sepenuhnya ketika parti sendiri berada dalam kerajaan?
Anifah mempromosikan dirinya sebagai bekas Menteri Luar dengan rangkaian diplomatik dunia. Tetapi realitinya ketika menjadi Menteri Luar di bawah kerajaan BN, beliau pergi ke luar negara atas kapasiti rasmi kerajaan dan bukan atas hubungan peribadi.
Hubungan yang dibina adalah G2G (government-to-government) bukan kenalan peribadi yang boleh dipetik sesuka hati untuk melobi pelaburan.
Jika benar rangkaian itu “milik beliau”, mengapa satu sen pun pelaburan tidak muncul selama bertahun-tahun selepas beliau tidak lagi berada dalam kabinet?
Apabila seseorang mengatakan “saya akan bawa pelabur kalau saya menang”, mesejnya hanya satu, kalau kalah, Sabah biarlah terus miskin.
Ini bukan semangat pemimpin. Ini mentaliti ‘penjual kuasa’.
Pemimpin tulen menolong negeri kerana itu tanggungjawab moral dan bukan kerana jawatan.
Jika benar ikhlas mahu membantu Sabah, tidak perlu tunggu kerusi DUN atau Parlimen. Tidak perlu menunggu tarikh undi. Tidak perlu memegang jawatan untuk memulakan rundingan pelaburan lebih-lebih lagi jika benar kononnya mempunyai jaringan global yang hebat.
Sabah berada dalam kedudukan paling perlahan dari segi pembangunan, peluang pekerjaan dan kemasukan pelabur. Tetapi Anifah memilih untuk diam selama bertahun-tahun, tidak membawa apa-apa pelaburan dan kini bangkit kembali hanya bila ada peluang politik.
Rakyat bukan lagi mudah diperdaya dengan skrip lama berasaskan gelaran masa lampau.
Sabah memerlukan wakil yang bekerja tanpa mengira menang atau kalah, ada jawatan atau tidak, ada gelaran atau tiada.
Jangan undi calon yang menipu rakyat. Jangan undi pemimpin yang hanya bekerja bila diberi kuasa. Pilih wakil yang bekerja untuk Sabah setiap masa bukan hanya ketika musim pilihan raya.

Comments
Post a Comment