Sama ada kerajaan yang sama terus kekal memerintah atau sebuah kerajaan baharu bakal dibentuk, semua akan ditentukan pada undian rakyat Sabah.
Pada waktu inilah semua parti yang bertanding akan menabur janji masing-masing bagi menambat hati rakyat dengan pelbagai manifesto yang belum diketahui sama ada mampu dilunaskan ataupun tidak.
Seorang warga Sabah yang hanya mahu dikenali sebagai Kenny meluahkan rasa kecewa terhadap permohonannya untuk Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sehingga kini masih belum ada jawapan.
Perbualan itu bermula sewaktu penulis menggunakan khidmat Kenny yang merupakan pemandu e-healing dari Kota Kinabalu menuju ke Kundasang.
Memandangkan perjalanan kami ini jauh ditambah dengan kesesakan lalu lintas yang cukup merimaskan, penulis memulakan perbualan bertanyakan tentang PRN sama ada dia mahu kerajaan yang sama memerintah atau ditukar kepada pemerintah yang baharu.
Dalam nada tenang, Kenny berkata, kali ini lebih elok tukar sahaja, walaupun, dia sendiri tidak pasti kerajaan yang baharu menjanjikan masa depan yang lebih baik.
"Saya tak nampak perubahan ketara yang dijanjikan kerajaan, bagi kami rakyat bawahan ini, hidup kami tiada perubahan.
"Pendapatan kami kecil, saya juga memandu lori, tapi jika dibandingkan dengan pendapatan orang di Semenanjung, kami jauh ketinggalan," katanya.
Selepas bertukar pandangan, Kenny semakin selesa untuk meluahkan isi hatinya, katanya, dia ada memohon PPRT yang sehingga kini masih belum diberi jawapan.
"Saya ini dibiarkan tanpa jawapan, dalam panggilan terbaru, saya ditanya sama ada saya ini kakitangan kerajaan, saya mula berasa hairan, apakah syarat sebenar yang melayakkan saya dapat PPRT," katanya dalam nada kecewa.
Daripada masalah permohonan PPRT sehinggalah kepada kemudahan asas yang masih teramat kurang pada mata Kenny menjadi topik perbualan kami.
Kata Kenny, selain kemudahan elektrik dan air yang masih bermasalah, kualiti jalan raya di Sabah juga amat menyedihkan.
"Lihat ini jalan ke Kundasang, tidak rata, perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kundasang hanya 93 kilometer (km), tetapi untuk sampai ke sana, ambil masa lebih dua jam," katanya.
Kata-kata Kenny itu ternyata benar kerana perjalanan penulis bersama rakan setugas ke Kundasang jejak tiga jam lamanya.
Laluan yang sempit, berliku dan mencabar menyebabkan perjalanan ke Kundasang tidak semudah disangka dengan kenderaan berat seperti lori semakin memperlahankan perjalanan kami.
Kenny amat berharap satu hari nanti akan ada pemimpin yang mampu mengubah Sabah kerana dia yakin bumi di bawah bayu itu mampu maju seperti mana negeri-negeri lain di Malaysia.


Comments
Post a Comment