MA63 Milik Rakyat Sabah, Bukan Mainan Politik - Mohd Hasnol

Japirin Sahadi (tiga dari kiri) bersama Datuk Mohd Hasnol Ayub (dua dari kiri) sewaktu mengadakan pertemuan dengan penduduk di Kampung Naradau, Kundasang, Sabah, semalam.


Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Sabah, Datuk Mohd Hasnol Ayub menegaskan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak wajar dijadikan alat politik untuk memecah-belahkan rakyat Sabah.

Beliau berkata perjuangan berkaitan MA63 adalah hak kolektif rakyat Sabah dengan semua pihak perlu berada dalam 'garis merah' yang sama untuk memastikan tuntutan hak negeri dilaksanakan secara adil kerana ia bukan milik mana-mana parti politik.

"Perjuangan MA63 adalah milik semua rakyat Sabah. Jangan jadikan isu ini sebagai modal politik untuk memecah-belahkan masyarakat. Ia tindakan tidak bertanggungjawab dan mendatangkan keburukan.

"MA63 mesti dijadikan asas perpaduan supaya hak Sabah dilaksanakan secara saksama, bukannya menjadi polemik yang melemahkan kedudukan negeri dalam rundingan dengan kerajaan persekutuan," katanya di Kampung Naradau, di sini malam tadi.

Berucap dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pinousuk, Mohd Hasnol menekankan Sabah hanya dapat memperkukuh kedudukannya dalam Persekutuan Malaysia jika rakyatnya bersatu, bukannya berpecah akibat retorik politik.

Ujarnya, kestabilan politik adalah asas pembangunan, termasuk projek kampung yang berjaya dilaksanakan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum 2018.

"Kekalahan BN pada 2018 menyebabkan banyak projek tertangguh, termasuk isu tanah dan infrastruktur yang sepatutnya menyokong kemajuan kampung tradisi Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) di Kundasang.

"90 hingga 95 peratus pembangunan hari ini adalah hasil pentadbiran BN sebelum 2018. Pentadbiran stabil membawa hasil, manakala politik tidak menentu menjejaskan kemajuan," jelasnya.

Sehubungan dengan itu, beliau mengajak pengundi N.36 Kundasang memilih calon BN, Japirin Sahadi kerana mempunyai kepimpinan yang berfokus kepada penyatuan rakyat, penyelesaian isu tanah serta pengukuhan pembangunan kampung sejajar dengan keperluan rakyat di kawasan itu.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.