MA63: Betulkah Hajiji ‘ Keras Bijinya’ Dalam Mesyuarat Dengan Anwar?


Kenyataan terbaru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen bahawa kes video skandal rasuah melibatkan beberapa ADUN Sabah “tidak pernah dipadam atau ditutup” memberi tamparan besar kepada naratif bahawa isu tersebut telah selesai. Ia secara langsung menafikan gambaran seolah-olah skandal itu telah dilupakan dan membuka semula persoalan mengenai integriti kepimpinan negeri.

Lebih penting, penegasan Anwar bahawa siasatan “mesti diteruskan” membayangkan beliau sendiri memantau rapat perkembangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ADUN GRS yang terlibat. Ini menimbulkan satu persoalan asas: Jika Putrajaya menganggap isu ini serius, mengapa Sabah melalui kepimpinannya bertindak bertentangan?

Pendedahan ahli perniagaan Albert Tei tentang amalan kickback, sogokan dan mekanisme “tol” untuk memproses kelulusan perlombongan telah menunjukkan wujudnya budaya rasuah yang sistemik. Rakaman dan kenyataan beliau mendedahkan bagaimana lesen dan projek tidak bergerak tanpa bayaran dan bagaimana kuasa tertentu digunakan sebagai alat untuk memperkayakan kelompok tertentu.

Ini bukan skandal terpencil ia menyentuh struktur keputusan kerajaan negeri, termasuk mereka yang berada dalam kedudukan membuat kelulusan penting.

Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini cuba membina imej bahawa beliau seorang pemimpin yang tegas, lantang dan tidak gentar mempertahankan kepentingan Sabah terutamanya berkaitan tuntutan 40% hasil bersih Persekutuan di bawah MA63.

Namun realitinya amat berbeza apabila individu yang masih berada dalam radar siasatan SPRM termasuk watak yang terlibat dalam skandal video rasuah dan pendedahan Albert Tei kembali dicalonkan oleh gabungan yang diketuai beliau.

Bagaimana seorang pemimpin boleh mendakwa dirinya tegas, sedangkan tindakan ini sendiri bercanggah dengan prinsip integriti asas yang dilaungkan?

Penganalisis politik tempatan menyifatkan tindakan mencalonkan semula individu tersebut sebagai “bom jangka” yang boleh meletup pada bila-bila masa. Fail siasatan yang masih berjalan bukan saja ancaman undang-undang, tetapi juga membuka ruang manipulasi politik.

Seorang penganalisis dari sebuah universiti berkata “Pemimpin yang berada dalam keadaan ‘boleh didakwa bila-bila masa ‘bukan masuk rundingan tapi mereka masuk dengan biji yang dimudah dipicit. Mereka tidak mempertahankan hak Sabah, mereka mempertahankan tengkuk sendiri.”

Ini membangkitkan kebimbangan bahawa individu sebegini mudah dipengaruhi, ditekan atau “dijinakkan” apabila berdepan isu-isu kritikal seperti rundingan MA63.

Sabah tidak boleh dipimpin oleh mereka yang membawa beban fail SPRM yang boleh “dibuka semula” mengikut kesesuaian politik.


Tuntutan 40% hasil bersih Persekutuan adalah antara perkara paling kritikal dalam sejarah autonomi Sabah. Namun, pemimpin Sabah hanya boleh masuk meja rundingan dengan kedudukan kukuh jika mereka bebas daripada tekanan atau liabiliti jenayah.

Jika watak-watak yang terpalit skandal terus berada dalam lingkaran kuasa, apa jaminan bahawa hak Sabah tidak akan dijadikan bahan tawar-menawar untuk menyelamatkan kedudukan politik individu tertentu?

Inilah sebab utama mengapa tindakan Hajiji Noor mencalonkan semula individu terkait skandal rasuah menimbulkan persoalan serius.

Biji Hajiji keraskah? kata penganalisis itu lagi.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.