Legasi Kartel Lombong Mineral Kuasai PRU DUN Sabah ke-17


Skandal lombong mineral yang pernah menggoncang pentadbiran Sabah kini kembali menghantui kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

Nama-nama besar yang sebelum ini dikaitkan dengan video pendedahan oleh Albert Tei kini sekali lagi muncul, bukan sebagai pesalah yang dipertanggungjawabkan tetapi sebagai calon pilihan parti pemerintah.

Antara nama yang terkait dan menjadi calon adalah:

N09 Tempasuk – Datuk Mohd Arsad Bistari

N12 Sulaman – Datuk Seri Hajiji Noor

N31 Membakut – Datuk Mohd Ariffin Arif

N36 Kundasang – Datuk Dr Joachim Gunsalam

N37 Karanaan – Datuk Seri Masidi Manjun

N43 Kemabong – Datuk Rubin Balang

N45 Sook – Datuk Ellron Angin

N48 Sugut – Datuk James Ratib

N57 Kuamut – Datuk Masiung Banah

Kesemua nama ini bukan asing bagi rakyat Sabah, mereka adalah sebahagian daripada kelompok politik yang dikaitkan dengan rangkaian “kartel mineral” yang didakwa mengaut keuntungan besar melalui projek lombong emas, bijih besi dan nadir bumi di beberapa kawasan pedalaman negeri itu.

Pendedahan video Albert Tei sebelum ini menggegarkan pentas politik apabila beberapa tokoh GRS dikaitkan secara langsung dengan urus niaga gelap konsesi mineral termasuk dakwaan sogokan dan pembahagian hasil antara kroni politik. Namun seolah-olah tiada apa berlaku malah mereka kini kembali bertanding dengan jentera dengan dana yang cukup besar.

Lebih memalukan, GRS turut mempertaruhkan legasi keluarga yang sama tercemar. Di DUN Tanjung Keramat, adik kepada Shahelmey Yahya iaitu Shah Alfie Yahya Ahmad Shah, 39 tahun diletakkan sebagai calon. Beliau merupakan Setiausaha Bahagian PGRS Tanjung Keramat dan pemilihannya menimbulkan persoalan besar, adakah Shah Alfie akan mewarisi gaya politik dan “tabiat” abangnya yang sarat kontroversi?

Rakyat Sabah semakin muak dengan kitaran nama-nama lama yang berlegar di sekeliling kuasa, sementara isu rakyat terus tidak diselesaikan. Di banyak kawasan pedalaman, pembangunan masih terbantut, peluang pekerjaan terhad dan hasil bumi Sabah terus “dicuri” atas nama pelaburan.

Namun di sebalik gelombang kartel ini, muncul juga calon-calon berwibawa dari pihak lawan yang cuba menamatkan dominasi politik berasaskan kronisme. Di DUN Tanjung Keramat, Jeffery Noor Mohamed, Ketua UMNO Bahagian Putatan yang bakal menjadi pencabar utama kepada Shah Alfie.

Jeffery Noor dikenali sebagai suara lantang yang menolak rasuah dan menyeru agar Sabah kembali diperintah oleh mereka yang benar-benar mahu membangunkan negeri bukan menjadikannya lombong kekayaan peribadi.

PRU DUN Sabah kali ini bukan sekadar pertarungan parti tetapi pergelutan antara moral dan kerakusan, antara rakyat biasa dan elit politik yang terlalu lama berakar dalam sistem kuasa.

Jika rakyat terus memilih wajah sama, kartel mineral akan kekal berkuasa dan masa depan Sabah akan terus gelap.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.