![]() |
| Respin Akau |
Lebih 90 orang dari Kampung Kirokot menyerahkan borang untuk menyertai Parti Bersatu Rakyat Sabah kerana inginkan pembangunan dan kehidupan lebih baik di bawah kepimpinan PBRS bersama Barisan Nasional (BN).
Seorang daripada penduduk di situ, Respin Akau baru-baru ini menyerahkan sendiri borang berkenaan kepada calon BN untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Kundasang, Japirin Sahadi.
Borang itu diserahkan ketika kumpulan Japirin ketika mereka datang melawat kawasan PDM berkenaan yang terletak di kawasan kampung yang agak dalam dengan keadaan jalan yang tidak berturap.
"Baru saya serahkan tadi kepada calon BN ialah 56 helai borang dan ada lagi lebih 40 borang akan diserahkan tidak lama lagi," katanya.
Beliau berkata mereka memilih untuk menjadi ahli PBRS kerana mereka mahu menyokong calon BN, Japirin yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 bagi DUN Kundasang.
Respin berkata penduduk di Kampung Kirokot mahukan perubahan dari pemimpin yang baharu yang boleh menambahbaik jalan di kawasan kampung mereka.
"Kami mahukan perubahan kerana ini jalan teruk betul, kami mahu wakil rakyat dari BN berjaya menjadi ADUN seterusnya di kawasan Kundasang ini," katanya.
Kebanyakan kawasan kampung dalam DUN Kundasang tidak terlalu jauh dengan kawasan pekan seperti Ranau tetapi perjalanan ke kampung berkenaan memakan masa lebih 1 jam disebabkan keadaan jalan yang tidak berturap.
Ada sebahagian kawasan sudah pun mempunyai jalan yang luas dan besar tetapi berbatu kerikil malah ada juga sebahagian kawasan masih menggunakan jalan tanah merah yang sempit.

Comments
Post a Comment