Sebut soal pendidikan di Sabah, sudah tentu antara kita terbayang keadaan bangunan serba daif di pelusuk tanah tinggi atau hutan yang memerlukan kita menempuh jalan tidak berturap berjam-jam untuk tiba ke destinasi.
Usah skeptikal dengan keadaan bangunan sekolah di kawasan pedalaman, penulis sendiri jadi saksi masih ada sekolah yang tidak dibina dengan baik seolah-olah komuniti setempat tidak layak menimba ilmu pengetahuan sama seperti anak-anak di Semenanjung.
SMK Kundasang (lama)
SMK Kundasang (lama)
SMK Kundasang (baharu)
SMK Kundasang (baharu)
Selain itu, daerah yang terletak di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Ranau itu turut merangkumi SK Kauluan, SK Lipasu, SK Mohimboyon dan SK Waang, SK Pahu Himbaan, SK Tagudon Lama, SK Pinausuk, SMK Kundasang dan SMK Bundu Tuhan.
Dalam senarai itu, penulis tertarik untuk mengulas mengenai SMK Kundasang (lama) ekoran menghadapi masalah inftrastruktur sehingga diklasifikasi sebagai tidak selamat akibat kejadian gempa pada 2015.
Media tempatan (Borneo Daily) melaporkan pembinaan semula SMK Kundasang (7 kilometer dari lokasi terdahulu) itu telah dijanjikan kepada komuniti setempat dengan peruntukan berjumlah RM43 juta, tetapi sehingga kini masih tiada jawapan jelas mengenai projek berkenaan.
Kesudahannya, boleh dikatakan hampir 1,000 pelajar sedia ada 'diserakkan' ke sekolah di serata Ranau gara-gara projek pembinaan gantian penuh 24 bilik darjah dan lain-lain kemudahan di sekolah itu tidak menemui jalan penyudah.
Kenderaan pengantara (charter) yang membawa pelajar sekolah Indonesia terpaksa merentasi tapak pembinaan SMK Kundasang (baharu) untuk pulang ke rumah masing-masing.
Isu ini telah membawa penulis ke kawasan pembinaan yang terletak hanya 10 kilometer dari Pekan Kundasang, namun ia tidak semudah yang disangka apabila perlu menempuh jalan raya berbukit berselang dengan laluan tidak berturap dan memakan masa hampir sejam untuk tiba.
Tidak dinafikan pemandangan sepanjang perjalanan ke sana sangat memukau, tetapi agak sukar menggambarkan bagaimana anak-anak jati Kundasang perlu berulang-alik melalui laluan yang saling tidak tumpah seperti permukaan di bulan setiap hari.
Disebabkan jalan yang semakin teruk, penulis memutuskan untuk berjalan kaki semata-mata mahu melihat apakah yang sebenarnya terjadi di tapak pembinaan yang sering menjadi bahan bualan antara 31,177 penduduk di Kundasang (MyCensus 2020-Jabatan Perangkaan).
Hampir 200 meter menuruni bukit tidak berturap sambil ditemani dua ekor anjing entah datang dari mana, penulis tiba di pos pengawal tapak projek dan cuba mengumpul maklumat sebanyak mungkin tanpa mendedahkan identiti sebenar sebagai seorang wartawan dengan misi mendapatkan status sebenar projek berkenaan.
Dek kerana anjing berkenaan kelihatan mesra dengan penulis kerana tidak membawa sebarang ancaman, pengawal berkenaan menghampiri penulis dengan tenang dan terus menyapa dengan laungan sinis bagi mengetahui apakah niat keberadaan penulis di kawasan terpencil itu.
"Hei kawan! Mahu ke mana?," jeritnya seolah-olah tidak membenarkan penulis melepasi pos pengawal berkenaan.
Dengan pemetik api ditangan, penulis segera memulakan sesi 'drama' sambil menghulurkan sekotak rokok kepadanya dengan hasrat menenangkan keadaan yang pada awalnya kelihatan tegang dan tiada kemungkinan pulang dengan maklumat yang diperlukan.
Tiga rakan wartawan yang lain menunggu di dalam kereta sewa kira-kira 200 meter dari lokasi penulis, namun tidak tahu mengapa penulis nekad mahukan jawapan kerana memikirkan masa depan anak-anak Kundasang.
Selang beberapa minit, pengawal yang dikenali sebagai Asmadi mendedahkan fasa pertama pembinaan telah siap kira-kira 60 peratus meliputi beberapa blok bilik darjah, makmal, kantin, bilik guru dan tangki air menggunakan teknologi tahan gempa.
Bagaimanapun, asrama dan padang sekolah masih belum siap, manakala fasa kedua dijangka mengambil masa tambahan satu hingga dua tahun untuk kelulusan dan pelaksanaan.
Jelasnya, laluan masuk ke sekolah masih dalam keadaan berbukit dan tidak berturap, menyukarkan akses pelajar dan guru sekiranya sekolah berkenaan siap lebih awal sepertimana yang dijanjikan iaitu 9 Oktober 2023.
Dua tahun berlalu melepasi tarikh ajal yang ditetapkan, proses pembinaan berjalan sangat perlahan membabitkan 70 hingga 80 orang buruh binaan yang sebahagian besarnya penduduk tempatan.
Selepas 10 minit bercakap, seorang rakan penulis menyusul di lokasi sama bagi mendapatkan kepastian ekoran bimbang dengan keadaan penulis yang menuruni bukit seorang diri tanpa memberi sebarang respon.
Rakan penulis mula mengalih perhatian dengan bercakap dengan pengawal berkenaan. Kesempatan itu digunakan penulis untuk terus menuruni bukit bagi melihat sendiri sama ada apa yang dikatakan Asmadi bukan sembang kosong.
Sama seperti awal tadi, penulis ditemani dua ekor anjing yang setia menuruni bukit lebih 200 meter lagi sebelum menemukan pos pengawal sekolah yang tidak berpenghuni. Kemudian, penulis melanjutkan perjalanan lebih 100 meter lebih dalam untuk melihat bangunan yang dikatakan sudah siap.
Ya memang ada bangunan sekolah, namun ia tidak seperti 60 peratus seperti yang dikatakan Asmadi tadi. Malah bangunan berkenaan menjadi tempat puluhan anjing liar berehat dan membiak dengan tidak terkawal.
Setelah melakukan tinjauan di kawasan pembinaan di sebelah bawah bukit kira-kira 30 minit, penulis segera berpatah balik selepas berasa tidak selamat dan cuaca juga tidak mengizinkan untuk penulis meninjau dengan lebih dalam.
Perjalanan pulang tidak seperti datang ke lokasi, penulis memanjangkan langkah mendaki laluan menegak menuju ke kereta sepantas mungkin sambil menjeling beberapa pekerja di rumah kongsi yang melontarkan pandangan tidak mesra seolah-olah mahu penulis segera beredar meninggalkan kawasan itu.
Dengan keadaan tercungap, penulis segera masuk ke dalam kereta dan salah seorang rakan yang sudah bersedia di kerusi pemandu terus memecut ke arah Mesilou. Akhirnya kami selamat tiba di Pekan Kundasang.
Setelah menarik nafas lega, penulis menceritakan pengalaman yang tidak begitu mencabar tetapi menarik untuk dikongsikan terutamanya bagi kami sebagai pasukan khas membuat pelaporan bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang kini sedang melalui proses kempen bagi hari ketiga.
Setelah merungkai kesemua maklumat yang ada, penulis berpendapat penduduk di sekitar Kundasang masih mempunyai akses pendidikan menerusi SK dan SMK sedia ada, namun kualiti infrastruktur SMK Kundasang berpotensi memberi kesan kepada suasana pembelajaran dan keselamatan pelajar.
Inisiatif pembinaan semula menunjukkan bahawa pihak kerajaan termasuk masyarakat setempat sedar akan masalah ini, tetapi kemajuan tidak tercapai apabila individu yang telah mewakili rakyat di Kundasang sejak 21 tahun lalu telah gagal memperjuangkan isu ini dengan berkesan.
Sampai bila sektor di daerah ini perlu berharap dengan sumbangan pihak luar menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sedangkan pemimpin setempat hanya sembang kosong sepanjang lima penggal berturut-turut.
Tahap pendidikan di Kundasang masih mencabar dari segi infrastruktur (terutamanya di SMK Kundasang) dan ia secara jelas akan menjejaskan prestasi akademik secara langsung atau tidak langsung.
Dalam masa sama, penulis tidak dapat membuat kesimpulan kukuh sama ada prestasi akademik menerusi Gred Purata Sekolah (GPS) atau keputusan peperiksaan di Kundasang sangat baik atau lemah kerana data prestasi peperiksaan terkini tidak tersedia untuk diakses oleh orang awam.
Penantian ini akan berterusan sekiranya pemikiran pengundi berdaftar bagi kerusi N36 Kundasang masih berada di bawah tempurung dan ternoda dengan janji-janji palsu pemain politik lapuk yang hanya mementingkan poket sendiri berbanding tahap pendidikan anak jati Kundasang.
Jika ia benar-benar berlaku, nampak gaya anjing dan bunian di tapak pembinaan itu berpeluang 'bersekolah' di situ sedangkan pelajar di Kundasang perlu menempuh puluhan kilometer untuk menimba ilmu di daerah lain.

Comments
Post a Comment