![]() |
| Kundasang mampu menarik kehadiran pelancong asing kerana memiliki pemandangan yang indah, tetapi, pembangunan terancang masih diperlukan di daerah itu. |
Keadaan muka bumi di kawasan pergunungan menjadikan Kundasang memerlukan pembangunan terancangan tanpa merosakkan alam sekitar.
Namun, daerah itu perlu dimajukan bagi membolehkan industri pelancongan dapat berkembang dengan pesat dan sekali gus, meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
![]() |
| Kohadie Watiman |
Timbalan Presiden Persatuan Homestay dan Kampungstay Malaysia, Kohadie Watiman berkata, Kundasang mempunyai muka bumi yang bergunung-ganang, tetapi daerah itu amat memerlukan pembangunan terutama kemudahan-kemudahan asas yang perlu dinaik taraf.
“Jalan raya kami terlalu sempit, untuk memakir kereta tu memang kurang berdasarkan kita punya muka bumilah.
![]() |
| Pemandangan indah dari Rumah Inap Walai Tokou dekat Kundasang, Sabah. Pelebaran jalan raya di Kundasang diperlukan terutama laluan di kawasan lereng bukit. |
“Walaupun tempat ini berada di atas bukit, kalau musim hujan, kami tetap mengalami masalah banjir. Kenapa banjir? Ini disebabkan longkang yang tidak terurus kerana tersumbat.
“Ini bererti sistem selenggara jalan raya serta longkang memang kurang dan risiko tanah runtuh boleh berlaku disebabkan air yang gagal mengalir kerana di sini kawasan tanah tinggi,” katanya ketika ditemui di Rumah Inap Walai Tokou dekat Kundasang, kelmarin.
Beliau turut tidak menafikan walaupun menerima ramai pelancong asing, tahap keselamatan dan keselesaan masih kurang.
Jelasnya, jalan raya yang dibina dibiarkan sehingga rosak tanpa penyelenggaraan dan ini satu cabaran utama yang terpaksa ditanggung warga tempatan.
“Daripada segi bekalan air pula, walaupun kami tinggal di pergunungan dan berbukit-bukau, tekanan air terlalu rendah, kemudahan itu memang tidak stabil, keadaan akan menjadi lebih rumit jika tanah runtuh berlaku kerana paip sering terjejas,” ujarnya.
Kohadie turut berharap sistem komunikasi dapat dinaik taraf kerana akses internet agak sukar di sesetengah kawasan.
Mengulas lanjut pula mengenai kemudahan klinik kesihatan, katanya, jalan raya di Klinik Kundasang sangat berbahaya dan terdedah kepada risiko kemalangan.
“Kami punya klinik kesihatan, dia punya jalan raya terlalu teruk dan cukup berbahaya kepada penduduk, kalau ada masa pergi Klinik Kundasang, lihat keadaan jalan raya di sana terlalu bahaya,” tegasnya.



Comments
Post a Comment