HANGAT...walaupun suhu di sini dingin dengan suhu serendah 17°celsius, tetapi kehangatan demam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 semakin terasa.
Perang poster dan bendera parti yang mula dipacak di pinggir jalan sekitar pekan Kundasang mula kelihatan selepas penamaan calon yang berlangsung, semalam.
Dengan berlatarkan Gunung Kinabalu yang menjadi lambang kebanggaan rakyat Sabah, suasana PRN di pekan Kundasang secara perlahan-lahan sudah mula terasa.
Seramai 24,000 pengundi daripada 31,177 populasi penduduk di Kundasang dijangka keluar mengundi pada 29 November ini dengan 10 calon akan bertanding bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), N36.
Barisan Nasional akan diwakili Japirin Sahadi, 61, dari Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), sementara, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dari parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan penyandang yang telah bertahan selama lima penggal sejak 2004.
Turut bertanding di kerusi N36 ialah Japiril Suhaimin (SAPP), Edward Jamkim @ Paul Arif (PIS), Atong Antong (PN), Jeffrey Gopog (Warisan), Nazarul Khaiwala Wahab (Anak Negeri), Rogers Tiam @ Aloysius (UPKO), Jattry Abie @ Jeffry Mohd Ali (KDM) dan Jackson Musi (Bebas).



Comments
Post a Comment